Mi tonggek sotong berulat, PPj perjelas tindakan terhadap peniaga


  • Tular
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Tangkap layar menunjukkan ada ulat-ulat kecil merayap pada badan sotong yang dibeli di bazar berkenaan. — Tik Tok

TULAR di media sosial rakaman rungutan seorang pengguna yang kecewa selepas juadah berbuka puasa yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Putrajaya, dikatakan berulat.

Rakaman berbentuk screen recording tersebut dimuat naik di TikTok selepas pengadu mendakwa tidak dapat memuat naik video aduan berhubung makanan tercemar itu di laman web Perbadanan Putrajaya (PPj).

"Semalam ada satu kejadian, aku pergi kedai paling viral iaitu kedai mi tonggek. Dah post kat Facebook tag PPj semua.

"Sebab aku buat ni (rakaman screen recording) sebab aku dah tak boleh nak download video tu," dakwanya dalam video berkenaan.

Pengguna TikTok yang menggunakan nama @mexsimustakasima33 itu mendakwa, dia berasa jijik kerana juadah mi tonggek yang dibeli pada harga RM30 itu dicemari ulat-ulat kecil yang kelihatan merayap pada badan sotong.

"Mi tonggek ni viral tau sebab mereka ada ramai pekerja, ramai pembeli, portion dia besar-besar, tapi sebab pekerja ramai, barisan beratur lancar.

"Aku beli satu juadah saja sebab tak nak membazir, aku minta cili lebih, tengok sotong dia besar, panas-panas lagi tak tipu.

"Ni pukul 5.20 petang aku kat sana, mi harga RM30 tapi ada ulat. Kalau RM30, tak sedap, aku boleh terima tapi ni dapat berulat, lagi-lagi ketika nak berbuka puasa.

"Kepada PPj tolong cek kedai-kedai lain, kasihan kepada pengguna, kasihan kalau budak termakan. Nasib baik aku pasang lampu terang, tengok-tengok ada ulat," katanya kecewa.

ppj2

Aduan makanan tercemar di bazar Putrajaya yang gagal dimuat naik di laman web PPj. — TikTok

Tambahnya, dia sudah log in ke laman web aduan PPj, tapi tidak berjaya memuat naik video berkenaan.

Rakaman skrin itu menunjukkan dokumen dipercayai video yang mahu dimuat naik itu melebihi saiz dibenarkan iaitu 10 megabait.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis amaran kepada peniaga terbabit.

"Susulan daripada tular video isu berhubung keadaan kebersihan makanan di gerai bazar Ramadan Putrajaya, Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj telah membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi di keseluruhan kawasan termasuk gerai terlibat dengan isu kebersihan yang tular di laman sosial.

"Notis itu dikeluarkan di bawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016 bersabit dengan kesalahan di mana pemegang lesen gagal memastikan kawasan tapak menjaja dalam keadaan bersih," katanya.

Katanya, PPj dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya akan terus giat melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan kebersihan ke atas semua lot gerai Bazar Ramadan Putrajaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram