Hero dedah cerita sebenar, sanggup gadai nyawa berdepan lelaki berparang


  • Benua
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Pasukan forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian amuk tetak isteri di Beach Road. — Agensi

KETIKA terdengar jeritan dari luar restorannya, Wei Chen Xiang memandang keluar dan terkejut apabila melihat seorang lelaki menyerang seorang wanita dengan pisau pemotong.

Namun, pekerja restoran Zhong Hua Steamboat di Beach Road, Singapura itu cepat-cepat bertindak bagi meleraikan amukan lelaki terbabit.

Bercakap kepada Channel News Asia, Chen Xiang berkata, dia tidak berasa takut ketika kejadian berlaku kerana enggan membiarkan lelaki itu melarikan diri.

“Saya hanya pegang kerusi dan baling ke arahnya, selepas itu, apa sahaja yang saya dapat capai, saya baling lagi objek itu kepada suspek,” katanya.

Screen-Shot-2022-04-15-at-7.33.05_censored-e1649984311729

Rakaman menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam menetak isterinya secara beberapa kali. — Agensi

Chen Xiang merupakan salah seorang saksi kejadian amuk di Beach Road pada petang Khamis.

Rakaman insiden itu tular di media sosial dengan menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam menetak wanita yang juga isterinya secara beberapa kali.

Wanita yang terbaring di tepi kaki lima itu kelihatan mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, seorang lagi pekerja Zhong Hua Steamboat yang hanya mahu dikenali sebagai Lin berkata, dia menyertai orang ramai membantu meleraikan keadaan kerana bimbang lelaki itu akan menyerang lebih ramai orang.

"Dia sudah kelihatan seperti sudah hilang akal, jadi saya takut dia akan mencederakan lebih ramai orang," kata lelaki berusia 43 tahun itu.

"Kami ada pelanggan yang makan di sini dan saya bimbang dia akan menyerang pelanggan," katanya.

beach-road-hacking-public-save-woman

Orang ramai membantu meleraikan amukan lelaki yang menetak isterinya di Beach Road. — Agensi

Dalam pada itu, pekerja restoran yang terletak berhadapan dengan lokasi kejadian segera menghubungi polis.

"Kami membuat panggilan cepat kerana tidak mahu suspek melarikan diri," kata Jin Xiao.

Chen Xiang dan Lin yang dipuji netizen di media sosial kerana tindakan berani itu hanya menganggap mereka sekadar melakukan apa yang terdaya.

"Sesiapa yang berada di lokasi kejadian pasti akan melakukan perkara sama. Mereka jiran kami dan memerlukan pertolongan. Lagipun bukan saya sahaja menolong mangsa, ada lebih 10 orang bersama-sama menghalangnya," kata Lin.

Dalam pada itu, seorang kakitangan hotel berdekatan dikenali sebagai Nazri berkata, kesan darah didapati pada pintu masuk di mana mangsa dipercayai mencari perlindungan sementara.

FQUAoSUaUAYKtnI

Pasukan forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian. — Agensi

Suspek lelaki itu ditahan pada petang Khamis kerana cubaan membunuh yang menyebabkan wanita itu cedera parah akibat luka tetakan.

Mangsa berusia 41 tahun itu dipercayai isterinya, kata polis dalam satu kenyataan berita. Lelaki itu juga dipercayai telah mengelar pergelangan tangannya sendiri sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

Dia akan didakwa di mahkamah pada Sabtu. Jika didapati bersalah, lelaki itu berdepan hukuman penjara seumur hidup, penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram