Tiada tangkapan baharu, YouTuber disambung reman bantu siasatan bunuh kekasih


  • 112
  • Selasa, 12 Apr 2022

Kertas siasatan dijangka diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

POLIS sedang melengkapkan kertas siasatan ke atas seorang YouTuber dan tiga rakannya berhubung kejadian teman wanita YouTuber itu yang meninggal dunia dalam kejadian di Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada 2 April lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, sejurus lengkap, kertas siasatan itu dijangka diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada minggu ini untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, ketika ini empat lelaki berusia 23 hingga 28 tahun termasuk YouTuber itu disambung reman lima hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini tiada tangkapan baharu. Reman mereka sejak 3 dan 4 April lepas tamat semalam namun pihak polis telah memohon perintah sambung reman kerana siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Minggu lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul teman lelakinya sebelum mangsa meninggal dunia dan kejadian tersebut berlaku selepas pasangan kekasih tersebut bertengkar disyaki bermotifkan cemburu.

Mangsa yang difahamkan berasal dari Melaka dan teman lelakinya itu menumpang di rumah sewa rakan mereka sejak tiba di negeri ini 27 Mac lepas untuk video laman YouTube mereka. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram