KETUA jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner tidak terganggu dengan satu gol dibolosi lawan sebaliknya lebih fokus kepada empat jaringan yang telah diraih untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 4-1 dalam aksi Liga Super, pada Ahad.
Beliau menjelaskan anak buahnya lebih fokus kepada aspek menyerang kali ini bagi memburu jaringan dan enggan meletakkan kesalahan kepada pemain apabila skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya menghasilkan gol sagu hati pada penghujung perlawanan.
Baginya, kemenangan sulung yang diraih pasukan amat penting selepas berdepan keputusan seri dalam dua perlawanan terdahulu sambil menyifatkan momentum kemenangan seperti ini yang perlu dikekalkan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.
Herlison Caion menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang KDA FC. — Facebook Selangor FC
Feichtenbeiner menambah, secara keseseluruhan persembahan yang diberikan oleh anak-anak buahnya sangat cemerlang kerana berjaya mematahkan serangan pasukan Hijau Kuning itu.
“Saya gembira dengan persembahan pasukan dan mereka telah mencipta banyak peluang untuk membunuh aksi lawan dan secara keseluruhan prestasi yang cemerlang telah ditampilkan pemain.
“Saya tidak terganggu (dengan gol bolos) sebab kita memang mahu menyerang dan saya ambil risiko daripada segi pertahanan jadi saya tidak menyalahkan sesiapa dan pemain memang mencipta peluang di depan.
“Untuk saya, kami menikmati dengan empat jaringan ini dan macam saya cakap, kita tidak hanya bertahan sepanjang masa sebab kita mahu menyerang, jadi risiko ini yang perlu diambil," ujarnya.
Malah, pengendali pasukan itu juga harus akui meskipun pemainnya berada dalam tekanan kerana peminat pasukan Gergasi Merah meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka namun persembahan pada malam Ahad itu membuahkan hasil.
Selepas kemenangan pertama ini, Selangor FC akan berkunjung ke laman Terengganu FC pada 22 April nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram