Enam bulan didera fizikal dan mental di Kemboja, 16 rakyat Malaysia diugut kunci mulut


  • Massa
  • Selasa, 12 Apr 2022

Kesemua mangsa berada dalam keadaan yang baik.— Awani

PEGUAM MCA, Heng Zhi Li mendedahkan bahawa 16 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja pernah didera termasuk direnjat menggunakan senjata renjatan elektrik, dipukul dan ditampar sepanjang tempoh mereka bekerja di Kemboja.

Zhi Li yang juga Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik Pemuda MCA berkata, kesemua mereka yang berumur dari 18 sehingga 45 tahun itu, bukan sahaja didera secara fizikal tetapi juga secara mental.

"Mereka memang pernah didera dengan 'taser' (senjata renjatan) elektrik, ditampar, dipukul dan sebagainya.

"'Mental torture' (penderaan secara mental) pun ada. Mereka juga pernah diugut supaya tidak membuat apa-apa laporan kepada pihak berkuasa.

"Jika mereka (sindiket) mendapati ada tindakan diambil, mereka akan membalas dendam terhadap keluarga mangsa di Malaysia," katanya di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada Selasa.

Pada Sabtu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan, 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan luar negara sedang disoal siasat pihak berkuasa di Kemboja.

Saifuddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kesemua individu terbabit dan mengesahkan semua mangsa berada dalam keadaan yang baik.

Mengulas lanjut, Zhi Li berkata, kesemua mangsa juga dikurung dikawal ketat oleh sindiket.

"Mangsa yang terawal sampai di sana, tiba awal September 2021.

"Agaknya dalam 6 bulan (mangsa-mangsa) berada di sana. Jadi mereka sudah rasa tertekan kerana suasana dan situasi bekerja di kawasan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Zhi Li berkata, terdapat mangsa yang terpaksa membayar duit tebusan sebanyak RM18,000 sebagai syarat untuk dilepaskan.

"Salah seorang mangsa yang berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa, pernah membayar 'ransom' (wang tebusan) RM18,000 untuk dia membebaskan diri.

"Kebetulan, pihak polis adakan operasi di kawasan berkenaan. Jadi dia dapat diselamatkan selepas itu," jelasnya.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram