SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai dirempuh sebuah lori di Kilometer 281, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, Ipoh, Perak pada awal pagi Isnin.
Mangsa, Mazaitul Hafiszan Ma’an, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 4.31 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, sebuah lori dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Yamaha LC.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa dikatakan tercampak di tengah jalan, lalu dipercayai digilis oleh lori yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, lori yang dipercayai terlibat tidak lagi berada di lokasi apabila jentera bomba tiba.
Tambahnya, anggota bomba kemudiannya membersihkan lokasi kejadian sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram