HARGA colek atau rojak yang merupakan kudapan 'wajib' setiap kali tibanya bulan Ramadan di Kelantan sejurus selesai menunaikan solat tarawih naik sebanyak RM1 hingga RM2.
Kenaikan itu tidak dapat dielak susulan peningkatan harga bahan mentah terutama ayam, perut dan paru lembu yang merupakan bahan utama dalam proses penyediaan hidangan itu.
Nor Asyikin menunjukkan hidangan olek yang di kedai miliknya. — Sinar Harian
Perkara itu diakui sendiri oleh pemilik kedai colek Zila Pohon Ceri di Jalan Dato Lundang, Nor Asyikin Mohd Rahadi, 27.
"Hidangan colek ayam, perut dan paru lembu terpaksa dinaikkan menjadi RM10 sepinggan berbanding RM8 pada tahun lalu," katanya.
Menurutnya, bagaimanapun harga colek lain seperti kerang dan buah-buahan masih lagi kekal dengan RM5 untuk satu-satu hidangan.
Katanya, harga colek udang, ketam dan ikan ditawarkan mengikut saiz.
Nor Asyikin berkata, kenaikan itu dapat diterima oleh para pelanggan yang menyifatkan mereka sudah faham dengan situasi ketika ini.
Hadafazira menunjukkan colek yang terdapat di gerainya. — Sinar Harian
Seorang lagi peniaga colek dari Wanda Tomyam, Hadafazira Rohaimi, 28, turut mengakui terpaksa menaikkan harga susulan peningkatan bahan mentah.
"Semua hidangan saya terpaksa naikkan sebanyak RM1. Sebagai contoh tahun lepas colek buah RM6, tapi kali ini RM7 sepinggan.
"Untuk harga udang galah saya jual RM5 seekor manakala ketam serta udang RM2 sudah boleh dinikmati," katanya.
Sementara itu pemilik Bayam Street Kitchen di Jalan Bayam, Maziah Yusof, 53, masih lagi mengekalkan harga colek seperti tahun lalu walaupun berlaku kenaikan harga bahan mentah.
"Saya lega dapat melihat pelanggan dapat menikmati colek pada harga sama iaitu RM5, RM6 dan RM 10 untuk colek campur," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram