Mujur hati terdetik sebelum teruskan transaksi, ternyata 'Dr Moyong' scam rawatan anak jantung berlubang


  • Tular
  • Isnin, 11 Apr 2022

ADA pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas penderitaan Hayderson (kiri) yang menghidap jantung berlubang. — Facebook

BAGAI menangguk di air keruh. Demikian peribahasa bersesuaian bagi menggambarkan perbuatan seorang individu yang tergamak menipu ibu malang dalam kesusahan yang mencari dana untuk menampung rawatan penyakit jantung berlubang anaknya.

Bercakap kepada Majoriti, wanita itu, Catherine Bujoh Kana berkata, dia dan suami hampir menjadi mangsa penipuan individu dikenali sebagai Dr Moyong yang mendakwa dirinya doktor di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut ibu kepada lima anak itu, dia mendapat panggilan daripada Moyong yang dipercayai menyamar sebagai 'Dr Sian Jien' mengatakan kononnya pihak IJN sudah mendapat penderma jantung buat anak bongsunya berusia setahun, Hayderson Emmanuel.

"Hayderson disahkan menghidap penyakit jantung berlubang ketika dia berusia 18 hari. Selain itu, paru-paru sebelah kanannya juga bengkak.

"Kami sebelum ini mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sehinggalah dia dirujuk ke IJN baru-baru ini untuk rawatan lanjut," katanya.

277667379_1811031862438696_5962221204447091101_n

Hayderson menghidap penyakit jantung berlubang sejak berusia 18 hari. — Facebook

Dia yang tinggal di Skudai sejak tahun 2015 kerana mengikut suami bekerja di Singapura memberitahu, Hayderson perlu menjalani pembedahan memasukkan injap jantung baharu dengan kos menelan belanja sekurang-kurangnya RM25,000.

"Mungkin ada tambahan kos lain melibatkan rawatan susulan, jadi memang kami tidak mampu membiayai rawatan berkenaan," katanya.

Memandangkan pasangan dari Sarawak itu tidak mempunyai wang mencukupi, Catherine memaklumkan, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) membantu menyiarkan kisah Hayderson di Facebook bertujuan mengumpul dana perubatan.

"Sehari selepas hebahan itu dibuat di Facebook Persatuan ABS, saya dapat panggilan daripada seorang individu mendakwa dirinya doktor dan memaklumkan sudah ada penderma jantung untuk Hayderson.

"Individu tersebut meminta saya membayar wang sejumlah RM1,300 untuk kos pembedahan anak pada 13 April ini selain tidak perlu menanggung kos-kos lain," ceritanya.

277368659_1812668188941730_8355725581840441685_n (1)

Salinan laporan polis yang dibuat di balai polis Kangkar Pulai berhubung penipuan 'Dr Moyong'. — Facebook

Katanya lagi, dia berasa pelik tetapi kerana panik ekoran benar-benar menyangkakan individu berkenaan adalah doktor dari IJN, dia dan suami bergegas ke sebuah bank di Skudai untuk membuat pembayaran.

"Kami pelik kerana nombor akaun tersebut milik seorang individu bernama Moyong anak Paru. Sebelum nak buat transaksi tu, terdetik di hati kami untuk menghubungi pihak IJN sendiri.

"Pihak IJN kemudian memaklumkan mereka tidak pernah menetapkan tarikh pembedahan pada 13 April seperti yang dinyatakan dan hanya menetapkan tarikh temu janji pada Julai depan.

"Pihak IJN juga memaklumkan segala urusan pembayaran hanyalah menggunakan nama IJN dan bukanlah individu," katanya.

Catherine bersyukur kerana dia terselamat daripada menjadi mangsa penipuan 'Dr Moyong'.

"Namun, saya agak ralat kerana telah menghantar gambar kad pengenalan anak, saya dan suami beserta surat beranak kepada individu berkenaan.

"Begitupun, saya juga memiliki butiran individu terbabit dan sudah membuat laporan polis. Pesanan saya, berhentilah buat penipuan seperti ini dan jangan ambil kesempatan atas kesusahan orang lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram