Gagal urus lawatan PM ke Dubai, KLN sahkan diplomat Malaysia dipanggil pulang


  • Primer
  • Isnin, 11 Apr 2022

Ismail Sabri dikatakan terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport ketika lawatan ke Dubai, hujung bulan lalu. — Bernama

DUTA Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid dipanggil pulang selepas kedua-dua ketua perwakilan itu gagal menyelaras urusan pentadbiran serta logistik bagi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara tersebut hujung bulan lalu.

Menerusi kenyataannya, Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan bersama pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam," katanya pada Isnin.

Jelas KLN, kegagalan kedua-dua ketua perwakilan tersebut menyebabkan Ismail Sabri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai selain liputan, kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Ismail Sabri seperti amalan prosedur operasi standard (SOP) biasa, juga tidak ada.

"Lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika Ismail Sabri menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk Perdana Menteri," katanya.

Menurut KLN, kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada kementerian di Putrajaya mengenai penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (WGS) yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai.

"Pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui mengenai WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain.

Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal mengenai penganjuran WGS, pastinya usaha dibuat supaya Ismail Sabri dapat menyampaikan ucapan di program tersebut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram