Eksekutif Petronas antara sembilan ditahan terlibat kes rasuah RM2.3 bilion


  • 112
  • Isnin, 11 Apr 2022

Antara kakitangan Petronas yang ditahan SPRM sebelum ini berkaitan dengan rasuah.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang eksekutif muda Petronas Carigali Sdn Bhd adalah antara sembilan yang ditahan berhubung dakwaan rasuah membabitkan projek bernilai lebih RM2.3 bilion.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menahan seorang eksekutif rendah Petronas Carigali dan bukan ketua pegawai eksekutifnya seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

"Siasatan kes itu adalah hasil kerjasama dan perkongsian maklumat yang baik antara SPRM dan Petronas dalam usaha meningkatkan integriti dalam syarikat berkaitan kerajaan itu.

"Selain pekerja Petronas Carigali, lapan individu lain yang direman adalah pemilik dan pegawai kanan syarikat – terutamanya kontraktor dan vendor," katanya.

Pada Jumaat, SPRM memperoleh perintah reman terhadap enam individu daripada Mahkamah Majistret Putrajaya dan dua daripada Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

Orang kesembilan ditahan dan direman di Bintulu, Sarawak pada Sabtu.

Sumber percaya pegawai Petronas Carigali berusia 40-an dan pegawai kanan syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 2017 dan tahun lepas.

"Pegawai itu dipercayai menerima wang daripada syarikat itu berikutan kejayaan kontrak luar pesisir mereka bernilai RM2.3 bilion," katanya.

SPRM turut merampas beberapa barangan milik suspek termasuk 10 kenderaan mewah, 50 barang kemas, jongkong emas dan 13 beg tangan mewah daripada suspek.

Mereka juga menemukan 15 jam tangan dan wang tunai dalam pelbagai mata wang bernilai kira-kira RM27,000 daripada suspek.

SPRM juga membekukan 12 akaun syarikat dan individu sebagai sebahagian daripada siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram