KEMENANGAN tipis 1-0 Sabah FC menentang Sarawak FC dalam aksi Derby Borneo pada Ahad di Stadium Negeri Kuching, Sarawak membantu pasukan itu menaiki tangga kedua Liga Super Malaysia 2022.
Jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-80 yang disempurnakan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar, ia sudah cukup untuk skuad The Rhinos memperoleh tiga mata pada perlawanan itu.
Meskipun menang, tetapi 'sekadar bernasib baik dan berpuas hati' adalah ungkapan-ungkapan yang dilontarkan oleh para penyokong tegar pasukan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee itu kerana jangkaan mereka lebih tinggi terhadap barisan pemain Sabah FC.
Serangan tumpul, pertahanan ampuh
Bagi para peminat, jentera di bahagian serangan skuad Sang Badak itu perlu diperbaiki lagi dan bagi mereka pasukan itu bernasib baik kerana barisan pertahanan melakukan tugas yang cemerlang menjaga benteng dari pihak lawan.
"Besar-besar pemain Sarawak.. kasihan pemain Sabah kena. Mainan Sabah malam ini tidak lincah macam sebelum-sebelum ini. Kenapa ya... macam ada yang kurang. Penyerang masih kurang sengat lagi sekarang ini.. nasib baik pertahanan padu malam ini.. Rizal terbaik bertahan malam ini.. kredit untuk dia... apa pun syukur menang," kata Sulaiman Ismail.
"Sebagai die hard fan Sabah FC, walaupun menang tapi serangan masih lemah. Pemain support dari midfielder pun lambat ke kotak penalti apabila pemain left wing nak buat crossing. Jadi bagi au, ini kemenangan bernasib baik bernasib baik. Kena fokus on aggresive attack lain kali," kata Hanif Nelson Smol yang senada dengan Sulaiman Ismail.
Neto Pessoa tidak berfungsi
Penyerang import dari Brazil iaitu Neto Pessoa mengecewakan peminat Sabah FC apabila dikatakan mempamerkan aksi longlai pada perlawanan itu dan gagal memanfaatkan banyak deretan peluang untuk menjaringkan gol.
Malah, ada peminat yang menyarankan untuk Neto pulang ke negara asal jika hanya 'berlari-lari' di atas padang tanpa menyumbang sebarang jaringan.
Aksi Neto (kiri) ketika perlawanan menentang Sarawak United.
"Terlanjur sudah tandatangan kontrak si Neto, gaji pun mahal. Mahu tidak mahu, bagi main saja dia, biarpun bejoging-joging sahaja dia di padang," kata Run Onalz.
"Neto itu bolehlah dibawa balik ke negaranya semula. Harga tidak berbaloi macam jeti di Miri mahal tidak berbaloi," ujar Agu's Tocrat.
"Serangan tumpul, import Jepun tidak nampak peranan dia... Neto nampak keseorangan, terpaksa turun ke bawah sebab tengah terlalu longgar," kata Hazman Hassan.
Tidak serasi
Tidak kurang juga ada yang mengkritik skill pemain Sabah FC yang masih sama sejak Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) dan keserasian sebagai satu pasukan juga belum memuaskan hati peminat.
Sabah FC ketika gagal mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan pembukaan Piala SMJ 2022.
"Game play Sabah tidak memuaskan. Serabut (sebab) belum ada keserasian antara pemain," kata Lundi Lun.
"Kena kurangkanlah long ball yang tak tentu pasal.. hantaran-hantaran ke lau (tidak tepat).. passing tu kena cepatlah jangan sampai lawan mau rebut baru mahu passing lepas itu halang bola tidak pun bolanya tidak tahu pergi mana.. pujian dari defend Sabah lah kental dari asakan lawan.. terutamanya Rizal dan Dominic," kata Jun Fez.
Seorang lagi peminat, Toha Anjaani berpendapat, permainan menentang skuad Bujang Senang itu adalah corak permainan yang paling teruk pernah ditunjukkan oleh Sabah FC dan dia berharap Kim Swee akan mengubah sesuatu yang lebih baik.
Dalam pada itu, Sabah FC dijadualkan berjumpa Kuala Lumpur City FC pada 16 April nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram