PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan pemimpin 'dinosaur' dalam politik yang wajar bersara tidak sepatutnya dipukul sama rata sebaliknya patut dilihat dalam pelbagai aspek penting.
Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia, Akif Rusli merasakan label 'dinosaur' politik itu tidak adil ditujukan kepada pemimpin yang telah meletakkan keutamaan dan kebajikan rakyat serta perihal-perihal kepentingan negara.
"Apabila disebut 'dinosaur' politik ni, biasanya kita lihat ada wajah tokoh-tokoh pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu), Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS), Lim Kit Siang (DAP) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR).
"Dalam ramai-ramai ini mustahil untuk kita menidakkan sumbangan dan jasa pemimpin yang disegani seperti Tun M. Sebelum ini, Tun M pun pernah menyatakan beliau tidak mahu bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun Pejuang masih menghargai dan memerlukan ketokohan beliau untuk bimbing perjuangan parti.
"Apa yang jelas sayap Pemuda Pejuang menolak kepimpinan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah lebih-lebih lagi membabitkan kes kecurian wang rakyat.
"Yang saya lihat perlu didesak untuk berundur ialah pemimpin kluster mahkamah yang terus-menerus menipu rakyat dengan menggunakan alasan perjuangan demi agama, bangsa dan negara sedangkan perjuangan mereka ini jelas untuk kepentingan politik peribadi," katanya kepada Majoriti.
Memberi contoh lain melibatkan kepimpinan parti PAS yang dipimpin oleh Abdul Hadi, Akif berkata, PAS dilihat sudah tidak lagi memperjuangkan perjuangan asal Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kalau nak tengok, apa jasa dan sumbangan masa beliau jadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah? Ini pun masih menjadi misteri sebab kita tak tahu sampai sekarang apa dia punya sumbangan.
"Jadi kalau nak kata Tun M pemimpin 'dinosaur' politik, saya rasa usia hanyalah nombor buat beliau sebab ketajaman, kecekapan dan kecerdasan pemikiran mindanya tidak boleh disangkal," katanya.
KETUA Penerangan Pejuang Muda Malaysia, Akif Rusli
Beliau berkata demikian bagi mengulas artikel Majoriti yang melaporkan rata-rata ahli Umno di peringkat akar umbi mahu Najib dan Zahid mengundur diri daripada dunia politik.
Tidak terkecuali diminta mengundur diri ialah pemimpin lain yang dilihat terlalu lama berada di tampuk pimpinan termasuk Tun M, Muhyiddin, Abdul Hadi, Kit Siang dan Anwar.
Menurut Akif, secara jelas, kerosakan yang berlaku kepada negara disebabkan oleh 'dinosaur' politik dengan merujuk Najib dan Zahid kerana pemimpin ini terlibat dengan kes-kes mahkamah selain tidak langsung menghormati kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Dalam hal ini adakah pemuda Umno nak berdiam diri kerana Perdana Menteri daripada pimpinan mereka tetapi tidak dihormati oleh Pengerusi Barisan Nasional dan juga Presiden Umno itu sendiri.
"Inilah contoh pimpinan politik 'dinosaur' yang wajar bersara," ujarnya.
Selain itu, kata Akif, pemimpin politik yang wajar berundur ialah Muhyiddin yang dilihat tidak cekap dalam menerajui kepimpinan negara.
"Ini jelas bahawa beliau yang patut bersara kerana perjuangan dan cita-cita politiknya adalah semata-semata untuk menyandang jawatan nombor satu negara.
"Pada Muhyiddin, duduk di meja Kompleks Seri Perdana tu jauh lebih penting berbanding kecekapan dalam kepimpinan. Kuasa didahulukan berbanding prinsip dan mandat rakyat. Itulah Muhyiddin," katanya.
Akif yang juga Setiausaha Peguam Pejuang berkata, dalam hal ini, Malaysia dilihat masih ketandusan kepemimpinan yang boleh mengembalikan maruah negara yang pernah disegani seantero dunia.
"Untuk buka ruang kepimpinan kepada orang muda ni, kepimpinan parti perlu bersedia menerima pandangan dan suara orang muda dan dibimbing pemimpin yang jauh lebih berpengalaman.
"Saya juga ingin berpesan kepada golongan muda supaya bijak menilai keikhlasan pimpinan politik yang benar-benar mengutamakan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara berbanding kepentingan peribadi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram