Warga emas onani, cium baju dalam di Jalan Klang Lama kena jel sebulan


  • 112
  • Selasa, 15 Mac 2022

TANGKAP layar video tular menunjukkan suspek beronani sambil mencium pakaian dalam wanita yang dijemur berhampiran sebuah flat di Sri Sentosa. — Facebook

SEORANG lelaki warga emas yang ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dengan beronani sambil mencium pakaian dalam yang dijemur penghuni di belakang sebuah rumah flat di Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dikenakan penjara selama sebulan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek berumur 62 tahun mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan dan telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau satu bulan penjara.

"Denda yang dikenakan tidak dibayar dan suspek akan menjalani hukuman penjara selama satu bulan," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Amihizam berkata, terdahulu, kertas siasatan lengkap telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada Selasa.

"Arahan tuduh di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dikenakan ke atas suspek kerana perbuatan yang mengaibkan kehormatan atau mengganggu kesantunan," katanya.

Terdahulu, suspek ditahan selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa berkaitan kejadian itu pada jam 2.44 petang.

"Mengikut aduan mangsa, seorang lelaki mengambil pakaian dalam yang sedang dijemur dan menciumnya sambil melakukan perbuatan onani.

"Perbuatan suspek dilihat dan berjaya dirakam seorang jiran yang kemudian menghubunginya untuk memaklumkan kejadian itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram