SEORANG penganggur dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat selepas didapati bersalah merogol isteri rakannya ketika pecah masuk rumah mangsa pada Januari lalu.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa berusia 26 tahun kira-kira jam 4.20 pagi di sebuah rumah di Taman Debunga, Merlimau, Melaka pada 21 Januari 2022.
Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang tidur tiba-tiba didatangi tertuduh yang menutup muka menggunakan kain putih.
Tertuduh kemudian mengugut mangsa menggunakan pisau dan menyuruhnya menanggalkan pakaian sebelum memperkosanya.
Ketika kejadian wanita itu sedang sarat mengandung tujuh bulan dan tinggal seorang diri kerana suaminya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Zul Hafiqhafizi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ke atasnya diringankan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tertuduh merupakan kenalan suami mangsa dan tahu suami wanita itu sedang menjalani hukuman penjara.
Jelasnya, dalam kejadian itu, mangsa sedang sarat mengandung dan jenayah dilakukan meninggalkan kesan trauma serta gangguan emosi sehingga wanita tersebut kini malu untuk berhadapan dengan keluarga terutama suaminya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 24 Januari lalu dan dikenakan tiga sebatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram