Enam sekeluarga 'redha' berteduh di rumah dilanda ribut


  • Massa
  • Jumaat, 08 Apr 2022

Keadaan rumah keluarga tersebut yang rosak dilanda ribut dan angin kuat. — Ihsan MyFundAction

PERJALANAN hidup seseorang manusia di dunia tidak sama, ada yang menikmati kehidupan yang serba serbi cukup dan sebaliknya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada pembangunan belia iaitu MyFundAction pada Khamis berkongsi kisah menyayat hati pasangan suami isteri iaitu Mak Cik Yah dan Pak Cik Wan di Kota Bharu, Kelantan di laman TikTok.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada MyFundAction, pasangan itu mempunyai empat orang anak dan menetap di sebuah rumah berusia lebih 50 tahun.

"Rumah yang sudah uzur dan banyak ruang yang sudah mula mereput.

"Keadaan rumah menjadi lebih teruk apabila angin ribut melanda Kelantan sejak Oktober 2021.

"Beberapa bahagian di kawasan rumah termasuk di beberapa bilik, runtuh dilanda ribut dan angin kuat.

"Kejadian roboh semakin teruk apabila bencana angin ribut berlaku beberapa kali sehinggalah Februari," kata Pengurus Projek Rumah Impian, MyFundAction, Lenny Noor Diana Azlan.

Screenshot 2022-04-07 220510

Pak Cik Wan (tengah) menghidap penyakit menyebabkan dia tidak dapat bekerja. — Ihsan MyFundAction

Ujar Lenny Noor Diana, tambah malang, pasangan suami isteri tersebut berdepan kesukaran untuk mencari sesuap nasi bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Pak Cik Wan menghidap penyakit gout yang menyebabkan dia tidak dapat sentiasa bekerja manakala isterinya menjual nasi impit berlauk namun hanya mendapat hasil kurang RM20 sehari.

"Mak Cik Mah hanya menghantar nasi impitnya di beberapa buah kedai.

"Kini, anak sulungnya yang banyak membantu untuk keperluan keluarga meskipun bekerja di kedai tayar," jelasnya lagi.

Screenshot 2022-04-07 220320

Wakil kontraktor dan penduduk yang bersetuju untuk membina rumah baharu buat keluarga itu. — Ihsan MyFundAction

Difahamkan, beberapa pihak datang membantu keluarga berkenaan namun hanya MyFundAction dan beberapa pihak sahaja mengambil inisiatif memberikan rumah baharu untuk keluarga tersebut.

"Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian di nombor akaun 550510970159 (Yayasan Kebajikan Muslim MyFundAction).

"MyFundAction berharap dengan keprihatinan rakyat Malaysia, dapat berganding bahu bagi membantu pembinaan rumah baharu mereka," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram