148,700 penerima bantuan dijangka dapat bantuan I-Fitri tahun ini


  • Primer
  • Isnin, 21 Mac 2022

ANTARA syarat permohonan ialah pemohon adalah rakyat Terengganu yang menetap di Terengganu. — The Star

SEBANYAK 148,700 penerima di Terengganu dijangka menikmati Bantuan i-Fitri 2022 menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi dengan nilai keseluruhan peruntukan berjumlah RM56.44 juta pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, bantuan i-Fitri akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu kategori A melibatkan jumlah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 dengan nilai bantuan diberikan adalah RM400.

"Bilangan penerima bagi kategori A dianggarkan sebanyak 128,450 orang dan melibatkan peruntukan RM51.38 juta. Kategori B pula melibatkan 20,250 penerima yang berpendapatan isi rumah antara RM2,501 hingga RM5,000.

"Peruntukan bagi kategori B pula sebanyak RM5.063 juta. Pemohon yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan boleh memohon melalui portal https://ibantuan.terengganu.gov.my," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.

Bantuan i-Fitri adalah pemberian dana raya yang diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Bajet Terengganu 2022 bertemakan 'Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua' dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November tahun lepas.

Hanafiah berkata, tempoh permohonan dibuka selama 10 hari bermula esok hingga 31 Mac (Khamis) manakala pembayaran dijangka bermula pada 17 hingga 23 April di peringkat DUN masing-masing.

Beliau berkata, antara syarat permohonan ialah pemohon adalah rakyat Terengganu yang menetap di Terengganu dengan jumlah pendapatan bulanan isi rumah tidak lebih RM5,000 (termasuk gaji dan semua elaun), berdaftar dalam sistem Profil Rakyat Terengganu 2020 (PRT2020) dan mestilah pengundi berdaftar di negeri itu.

"Pemohon yang tidak mempunyai slip gaji pula perlu mengemukakan surat perakuan pendapatan disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK)," katanya sambil memberitahu pemohon yang berjaya akan menerima baucar melalui agihan JPKK masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata kerajaan negeri telah meluluskan pengoperasian bazar Ramadan di 63 lokasi di seluruh negeri melibatkan 5,342 peniaga.

"Jumlah peniaga bazar Ramadan pada tahun ini mencatatkan peningkatan kira-kira 12 peratus berbanding 2021 yang merekodkan sebanyak 4,781 peniaga. Ini bermakna ada peniaga baharu yang cuba berniaga pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.

Dr Alias mengingatkan para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) termasuk menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi membendung penularan Covid-19. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram