Surat tular Mukhriz kepada Foodpanda, Pejuang Muda tampil perjelas keadaan


  • Massa
  • Rabu, 06 Apr 2022

PEJUANG dan NGO PENGHANTAR menyampaikan memorandum bantahan kepada pihak Foodpanda Malaysia pada Mac lalu. — Facebook

PADA 4 April 2022, pihak Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) telah menghantar sepucuk surat kepada pengarah urusan Foodpanda yang yang ibu pejabatnya terletak di Bangsar South.

Surat yang ditandatangani oleh Presiden Parti Pejuang Tanahair yang juga ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir antara lain meminta penjelasan berkenaan beberapa perkara terkait status penarafan penghantar, selain daripada soal keselamatan dan kebajikan secara umum.

Exco Pekerjaan dan Modal Insan, Pejuang Muda, Mohd Akmal M Yusoff berkata, sebelum ini terdapat beberapa sesi perbincangan, libat urus, dan tindakan susulan telah dijalankan dari November 2021 oleh Pejuang Muda (Exco Pekerjaan & Modal Insan) dan NGO Persatuan Penghantar P-Hailing.

"Pihak NGO Persatuan Penghantar P-Hailing (PENGHANTAR) juga telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk pertemuan dengan Presiden Pjuang.

"Pada Mac 2022, Biro Pekerjaan & Modal Insan, Pejuang Muda Malaysia dengan kerjasama NGO PENGHANTAR telah mengambil inisiatif menyampaikan memorandum bantahan dan desakan kepada pihak Foodpanda Malaysia di pejabat operasi Foodpanda bertempat di Southgate Commercial Centre.

"Memorandum tersebut adalah untuk menggesa pihak Foodpanda Malaysia bagi meneliti kembali segala SOP yang bersifat menekan dan, atau menganiaya penghantar yang berkhidmat untuk syarikat ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Akmal berkata, pengurusan tertinggi Foodpanda Malaysia juga tidak patut untuk terus berdiam diri tanpa apa-apa tindakan terhadap isu yang dibangkitkan.

"Tambahan itu, persoalan yang dibangkitkan oleh Presiden Pejuang dalam sesi sidang parlimen yang lalu hanya dijawab dengan ringkas oleh pihak Kementerian Sumber Manusia dengan menyatakan wujud perbincangan antara PENGHANTAR dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang telah pun berlaku setahun lalu," katanya.

Katanya, selaku sayap pemuda Parti Pejuang Tanahair, pihak kami akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian atau persetujuan bersama berhubung isu ini yang jelas terkait dengan kebajikan rakan penghantar ini.

Terdahulu, Majoriti melaporkan tular di media sosial satu surat yang memaparkan Mukhriz selaku Presiden Pejuang menghantar satu surat kepada syarikat penghantar makanan, Foodpanda.

Menerusi surat tersebut, Mukhriz memohon penjelasan berkaitan dengan isu keselamatan dan kebajikan penghantar makanan syarikat tersebut.

Rentetan itu, ramai juga yang beranggapan tindakan Mukhriz itu sebenarnya sekadar hendak mencari ruang publisiti untuk mendapat sokongan dalam karier politiknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram