POLIS sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes cabul seorang pembantu peribadi di kawasan parkir sebuah bangunan di Cyberjaya, Sepang, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, mangsa berusia 27 tahun mendakwa seorang lelaki telah datang untuk membantunya menyimpan barang di dalam kereta.
"Suspek memberi alasan mahu membantu kerana dia mahukan troli yang ada pada mangsa.
"Bagaimanapun wanita itu memberitahu, dia tidak perlukan pertolongan, namun lelaki itu tetap mengambil barang dan memasukkan ke dalam kereta mangsa.
"Tiba-tiba lelaki tersebut telah menyentuh dan meramas punggung mangsa secara kasar sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wan Kamarul Azran berkata, ketika kejadian lelaki itu berpakaian hitam, menyandang beg silang hitam, memakai pelitup muka, rambut dan kulit warna gelap.
"Mangsa hanya nampak lelaki itu matanya juling. Wanita itu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular satu ciapan daripada pengguna Twitter @asymqw yang mendakwa berlaku satu kejadian gangguan seksual di parkir bawah tanah Tamarind Square.
"Kali ni jadi depan mata aku. Ya ALLAH dengan aku sekali menggeletar dengar mangsa wanita ni menjerit.
"Masa itu, aku parkir kereta dan dengar suara orang menjerit lama gila dan semakin kuat.
"Lepas itu, aku dah gelabah dan risau terus tekan hon kereta lama-lama sebab tak tahu dekat mana kakak tu. Masa turun kereta nampak kakak ni dah menangis kat kawasan nak masuk lif.
"Kemudian, semakin ramai orang datang tenangkan kakak ni. Tak tahu ini berita baik ke tak, selipar lelaki ni tercabut sebelah mungkin dia dah gelabah terus lari apabila ramai dengar jeritan kakak ni.
"Semoga polis boleh cari sampai dapat lelaki tak guna ni!," katanya dalam ciapan pada petang Selasa.
Namun difahamkan, berdasarkan rakaman CCTV, suspek sempat mengambil semula selipar terbabit sebelum melarikan diri.
Sebelum itu, seorang lagi pengguna Twitter, @nrsyfreyna memuat naik ciapan berhubung dua kejadian serupa di Tamarind Square membabitkan dua mangsa termasuk seorang rakannya.
"Orang gila seks di Tamarind Square muncul kembali. Kali ini kawan saya jadi mangsa. Lepas beberapa minit, ada seorang lagi budak perempuan dicabul lelaki sama.
"Polis memberitahu kami bahawa pengurusan Tamarind Square berdiam diri tentang isu tersebut. Jumlah kes hari ini ada dua. Pihak @tamarind_square tolong ambil tindakan.
"@Twt_Cyberjaya hebahkan perkara ini untuk pengetahuan umum. Pelaku didakwa warga tempatan dengan rambut keriting dan mengenakan baju serta selipar sukan berjenama Adidas. Ia berlaku di kawasar parkir awam tanpa pemantauan televisyen litar tertutup," katanya.
Berdasarkan ciapan itu, kemungkinan berlaku tiga kes cabul dilaporkan pada hari sama di lokasi berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram