POLIS Johor memburu pemandu sebuah kereta mewah bernombor pendaftaran Singapura kerana didapati memandu secara berbahaya dalam satu kejadian menerusi satu rakaman video yang tular di laman sosial Facebook pada Ahad.
Menerusi rakaman video yang tular itu, sebuah kereta mewah jenis BMW dengan nombor pendaftaran Singapura dilihat memandu secara berbahaya dengan memotong beberapa kenderaan di laluan kiri dan kanan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan perkara ini menerusi satu rakaman video durasi 41 saat yang memaparkan sebuah kereta mewah berwarna emas dipandu dalam keadaan berbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara melulu hingga boleh mengakibatkan kemalangan.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela (dari Jalan Sungai Rengit menghala Bandar Penawar) di Kota Tinggi.
"Aksi berbahaya itu dipercayai dirakam oleh orang awam yang mana kemudiannya telah memuat naik video itu di laman sosial pada 3 April lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Hussin berkata, Polis Daerah Kota Tinggi kini telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sedang mengenal pasti pemandu motokar terlibat.
"Saya juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dengan aksi-aksi yang berbahaya sekali gus boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.
Kejadian itu berlaku ketika rakyat Malaysia sedang marah dengan kes pemandu Singapura menggunakan petrol RON95 yang dikhaskan untuk rakyat negara ini.
Selain itu, rakyat Singapura juga menimbulkan prasangka buruk terhadap rakyat Malaysia kononnya rakyat republik itu dirompak apabila memasuki negara ini selepas pintu sempada dibuka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram