Dua maut, polis kenal pasti punca Kancil bertembung Kenari di Kuala Pilah


  • 112
  • Rabu, 06 Apr 2022

KEADAAN dua buah kereta yang bertembung hingga mengakibatkan dua orang maut.

DUA pemandu maut apabila kereta dipandu mereka bertembung di Kilometer 29 Jalan Seremban – Kuala Pilah, berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hua, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu membabitkan kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang wanita berusia 24 tahun dan Perodua Kenari dipandu lelaki berusia 28 tahun.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu Perodua Kancil iaitu Nur Amylia Shahira Hamidi, 24, dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu Perodua Kancil dipercayai telah hilang kawalan dan telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Kenari dipandu Mohamad Kamil Ahmad Ishak, 28, yang sedang bergerak dari arah Kuala Pilah menghala ke Terachi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Amran berkata, akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu Perodua Kancil yang merupakan seorang pengurus restoran makanan segera mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sementara itu, pemandu Perodua Kenari meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram