Khairu Azrin tak sabar, bangga sertai KDA FC


  • Podium
  • Rabu, 06 Apr 2022

Khairu Azrin menyertai Sang Kenari awal musim ini daripada Penang FC. — KDA FC

PEMAIN tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khairu Azrin Khazali sudah tidak sabar untuk beraksi buat kali pertama selepas berehat lebih sebulan akibat kecederaan hamstring.

Menurutnya, dia sudah hampir pulih sepenuhnya apabila turun selaku pemain gantian dalam dua perlawanan persahabatan lalu semasa berdepan Piala Presiden Kedah dan pasukan dari Liga M3, Harini FT.

“Rasa kecewa juga di permulaan musim baharu, saya tidak dapat bermain lebih kurang tiga perlawanan kerana kecederaan hamstring yang memerlukan tempoh rawatan yang agak lama.

“Namun, waktu rehat liga yang panjang beri hikmah kepada saya mendapatkan masa pulih yang lebih teratur agar tidak terlalu tergesa-gesa untuk kembali cergas.

“Saya kini berada di tahap terbaik untuk bermain dengan pasukan dan berdasarkan perlawanan persahabatan tempoh hari, saya rasa sudah bersedia untuk aksi kompetitif.

“Melihatkan aksi Kedah dalam perlawanan sebelum ini, saya memang rasa gembira kerana dapat bermain di sini dan sudah tidak sabar melakukan penampilan buat pertama kali di depan penyokong Kedah,” katanya.

KDA FC bakal menanti kunjungan Sri Pahang di Stadium Darul Aman untuk aksi Liga Super pada Rabu.

Khairu Azrin menyertai Sang Kenari awal musim ini merupakan antara tonggak penting yang membantu Penang FC menduduki tangga ketiga liga musim lalu.

Dalam pada itu, Khairu Azrin mengakui dia berdepan cabaran hebat untuk berada dalam kesebelasan utama dengan kehadiran ramai pemain berkualiti di bahagian tengah.

“Di posisi saya, ada pemain import seperti Dechi Machel yang pasti menjadi pilihan utama berdasarkan kualiti yang dimiliki.

“Semasa saya cedera, jurulatih memilih Fadzrul Danel selain tidak dilupakan pemain seperti Amirul Hisyam serta Asnan Ahmad.

“Semua mereka ini merupakan pemain yang sangat hebat dan jelas saya perlu bekerja keras semasa latihan bagi memikat perhatian jurulatih.

“Sememangnya ini adalah satu persaingan yang sihat demi kebaikan pasukan yang akan lalui pelbagai kejohanan musim ini seperti Piala AFC,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram