Penumpang menjerit, pesawat MAS KL-Tawau tak stabil di ketinggian hampir 8,000 meter


  • Massa
  • Selasa, 05 Apr 2022

PESAWAT berkenaan terpaksa berpatah balik selepas 30 minit berlepas dari KLIA pada Ahad. — The Star

SEORANG penumpang wanita berkongsi detik cemas sewaktu dia menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur ke Tawau baru-baru ini.

Menurut perkongsian Halimah Nasoha di laman Facebook, kapal terbang itu tiba-tiba turun dari ketinggian 7,600 meter kepada tujuh meter hanya dalam masa beberapa saat.

Ujarnya, ramai penumpang panik, menjerit dan ada yang menangis apabila pesawat kehilangan altitud selepas 30 minit berlepas.

"Ia sangat menakutkan bagi kami. Saya benar-benar merasakan saya akan mati.

“Saya terkilan kerana tidak memakai tali pinggang keledar ketika itu.

"Penerbangan itu tidak stabil. Ia naik dan kemudian turun. Tetapi, kali pertama ia turun adalah yang paling teruk," jelasnya.

Halimah turut memuji kecekapan juruterbang dalam menangani situasi kecemasan tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada para penumpang dan pesawat.

Dalam pada itu, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Malaysia Airlines, penerbangan bernombor MH2664 itu terpaksa berpatah balik kerana mengalami masalah teknikal dan cuaca buruk pada Ahad lalu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, juruterbang membuat keputusan untuk berpatah balik ke Kuala Lumpur demi keselamatan penumpang.

Tambah kenyataan itu lagi, pesawat berkenaan selamat mendarat di Kuala Lumpur pada pukul 5.03 petang Ahad selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.30 petang.

"Keselamatan anak kapal dan penumpang adalah amat penting," ujar kenyataan berkenaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram