Semua 132 penumpang nahas pesawat China Eastern disahkan maut


  • Benua
  • Ahad, 27 Mac 2022

PETUGAS penyelamat memeriksa kawasan nahas pesawat MU5736 China Eastern Airlines di Wilayah Guangxi. — Agensi

PIHAK berkuasa penerbangan awam China mengumumkan pada malam Sabtu bahawa semua 132 penumpang pesawat China Esatern Airlines yang terbabit nahas di selatan negara itu Isnin lalu, disahkan meninggal dunia.

Puluhan ahli keluarga mangsa menunggu berhari-hari ketika pasukan penyelamat memeriksa kawasan hutan tebal untuk mencari serpihan pesawat dan tanda-tanda mangsa terselamat, daripada bencana berhampiran bandar Wuzhou di wilayah Guangxi itu.

Walaupun belum ada punca yang disahkan, data pengesanan dalam talian menunjukkan pesawat itu jatuh dengan pantas dari ketinggian 29,100 hingga 7,850 kaki (kira-kira 8,900 hingga 2,400 meter) dalam masa lebih seminit.

"Semua 132 penumpang dan sembilan anak kapal penerbangan MU5735 syarikat penerbangan China Eastern telah terbunuh dalam pesawat pada 21 Mac," kata Hu Zhenjiang, Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Penerbangan Awam China, ketika sidang akhbar.

"Identiti 120 mangsa ditentukan melalui pengenalan DNA (ujian asid deoksiribonukleik)," katanya.

Pegawai penerbangan sebelum ini mengesahkan mereka menemui kotak hitam yang mereka percaya perakam suara kokpit, yang sepatutnya memberikan petunjuk penting kepada punca nahas.

Jet terbabit nahas, Boeing 737-800, dilengkapi dua perakam dengan satu di bahagian belakang penumpang kabin yang menjejak data penerbangan, manakala satu lagi perakam suara kokpit. Pasukan penyelamat masih mencari perakam lain.

Punca kejadian membingungkan pihak berkuasa penerbangan, yang menjejaki kawasan di tapak nahas untuk mendapatkan petunjuk punca yang mencetuskan nahas pesawat paling membawa maut di China dalam hampir 30 tahun.

China Eastern sebelum ini berkata, pesawat yang terhempas itu, yang berusia hampir tujuh tahun, memenuhi semua keperluan kelayakan udara sebelum penerbangan.

Susulan insiden itu, syarikat itu melancarkan rombakan keselamatan, menghentikan semua 223 pesawat Boeing 737-800 miliknya untuk pemeriksaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram