Malaysia sertai prosiding MH17


  • Primer
  • Rabu, 16 Mac 2022

PESAWAT MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di utara Ukraine, mengorbankan 298 orang. — Reuters

MALAYSIA akan mengambil bahagian dalam prosiding melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selaras dengan Konvensyen Chicago susulan tindakan undang-undang bersama yang dimulakan oleh kerajaan Australia dan Belanda berikutan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh lapan tahun lalu.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kerajaan Malaysia mengulangi komitmennya terhadap proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 pada 2014.

"Kerajaan Malaysia komited untuk menuntut keadilan bagi keluarga mangsa nahas termasuk 43 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat itu.

"Seterusnya mengheret pihak bertanggungjawab berhubung tragedi menyayat hati pada 17 Julai 2014 melalui proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang - undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, pendekatan Malaysia kekal bahawa segala kesimpulan perlu dibuat berdasarkan bukti kukuh dan menggesa semua negara dan pihak yang terbabit memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap perbicaraan ini selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014).

Dilaporkan Australia dan Belanda telah memulakan tindakan undang-undang bersama terhadap Rusia melalui ICAO berikutan tragedi MH17 yang ditembak jatuh.

Tindakan undang-undang oleh kerajaan Australia dan Belanda tersebut difailkan menerusi ICAO di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

"Proses undang-undang yang menyeluruh mesti diteruskan dalam usaha mengheret pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan demi membela mangsa nahas MH17 dan keluarga mereka,” tambah kenyataan itu.

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di utara Ukraine, mengorbankan 298 penumpang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram