Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas pesawat di China


  • Primer
  • Selasa, 22 Mac 2022

SERPIHAN pesawat Eastern Airlines MU5735 selepas terhempas di kawasan pergunungan di daerah Tengxian, selatan wilayah Guangxi Zhuang, China pada Selasa. — AP

KEMENTERIAN Luar mengesahkan setakat ini tiada laporan tentang rakyat Malaysia terlibat dalam nahas tragedi pesawat Eastern Airlines MU5735 China yang terhempas di Wilayah Guangxi, China.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, Kementerian Luar memaklumkan Kedutaan Malaysia di Beijing serta Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Nanning dan Guangzhou memantau rapat berhubung sebarang perkembangan berhubung nahas berkenaan.

Dalam pada itu, Kementerian Luar bagi pihak kerajaan turut mengucapkan takziah dan simpati kepada China dan keluarga mangsa yang terkorban.

Pesawat tersebut yang membawa 132 penumpang terhempas di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China pada Isnin petang.

Pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Kunming menuju ke Guangzhou itu, terhempas di kawasan pergunungan berhampiran perkampungan Molang di daerah Tengxian, bandar Wuzhou pada 2.38 petang.

Nahas itu turut mengakibatkan kebakaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram