Kes ular dalam pesawat, CAAM tidak kompromi isu keselamatan


  • Primer
  • Ahad, 13 Feb 2022

TANGKAP layar insiden penemuan seekor ular di dalam pesawat penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada 10 Februari. — Facebook

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan terus memantau situasi pengurusan syarikat penerbangan bagi memastikan segala mitigasi risiko terhadap keselamatan dalam penerbangan diuruskan dengan sewajarnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu hantaran Facebooknya berkata, CAAM tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan operasi syarikat penerbangan.

HANTARAN Wee Ka Siong pada Sabtu.

Ka Siong berkata, demikian sebagai merujuk kepada laporan insiden penemuan seekor ular di dalam pesawat penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada 10 Februari lepas sehingga menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

"Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengenai perkara ini, dan pengawal selia keselamatan serta teknikal telah menguruskan hal ini dengan baik bersama syarikat penerbangan berkenaan mengikut semua prosedur dan peraturan keselamatan,” katanya.

Menurut Ka Siong dalam kejadian itu, pesawat AirAsia berkenaan telah selamat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak mengikut prosedur keselamatan yang diperlukan.

Katanya, setiap syarikat penerbangan perlu mematuhi semakan prapenerbangan yang ketat sebagai sebahagian daripada keperluan dan prosedur operasi standard. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram