MESYUARAT Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) memutuskan untuk merehatkan pensyarah kontrak yang tular memperlekehkan seorang pelajar B40 tidak mempunyai komputer riba dipercayai berlaku ketika sesi kelas dalam talian mulai 1 April sehingga siasatan lengkap dilaksanakan.
Jabatan Komunikasi UiTM dalam satu kenyataan berkata, keputusan mesyuarat pada 31 Mac itu dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur.
Ia susulan tular satu klip video memaparkan pensyarah wanita itu memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40 sehingga mencetuskan kemarahan ramai.
Jelas kenyataan itu, UiTM dalam masa sama memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja atau tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warganya.
“UITM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran (posting) yang mengelirukan.
“UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya. Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.
“Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Awal pagi Rabu tular satu rakaman video klip durasi satu minit 45 saat tular memaparkan pensyarah wanita itu memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.
Menerusi rakaman itu, pensyarah wanita berkenaan turut meminta pelajar terbabit meminta kakaknya menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram