UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mengesahkan pelajar yang dimaki seorang pensyarah gara-gara tidak mempunyai komputer bukan berstatus anak yatim seperti yang didakwa.
Hasil siasatan institusi pendidikan awam itu mendapati bahawa ibu pelajar berkenaan masih hidup dan bekerja sebagai operator kilang.
Dalam satu laporan kronologi yang dikeluarkan pada 30 Mac, UiTM juga mengesahkan pelajar berkenaan mempunyai komputer untuk proses pembelajaran secara dalam talian.
Namun, komputer peribadinya itu tidak dibawa bersama ke kampus dan dia mengambil insiatif untuk menggunakan telefon bimbit bagi mengikuti kuliah secara atas talian.
LAPORAN kronologi yang dikeluarkan UiTM pada 30 Mac.
Malah, universiti tersebut juga mengesahkan bahawa pelajar tersebut mempunyai seorang kakak sebagaimana yang dinyatakan dalam video dan kakaknya tersebut telah mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Untuk rekod, pelajar itu mempunyai tiga orang adik beradik termasuk dirinya dengan adiknya sedang menuntut di UiTM Rembau.
Laporan tersebut dihasilkan berdasarkan temu bual dengan empat orang pelajar dan mereka mengesahkan video tersebut berlaku semasa kuliah minggu ke lapan pada Semester Oktober 2021 Februari 2022 bagi subjek Construction Economic and Islamic Finance.
Pelajar tersebut telah lulus dalam peperiksaan akhir yang lepas termasuklah bagi mata pelajaran yang diajar oleh pensyarah dalam video itu.
Kata UiTM, video itu bukan direkod dan ditularkan oleh pelajar berkenaan namun dirakam serta dikongsikan oleh pihak lain sehingga tular di media sosial.
Tambah laporan itu, pelajar berkenaan tidak pernah memohon bantuan wang zakat tetapi memperolehi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Berhubung tindakan lanjut, laporan itu menyebut bahawa UiTM mempunyai dua pilihan sama ada tidak mengambil sebarang tindakan kerana dua-dua pihak sudah bersetuju berdamai atau menamatkan kontrak pensyarah tersebut.
Namun kata laporan tersebut, keputusan UiTM bergantung kepada nasihat Kementerian Pengajian Tinggi.
Majoriti kini menunggu pengesahan daripada pihak UiTM berhubung laporan tersebut dan maklum balas kementerian berkenaan.
Pada Selasa, warganet dikejutkan dengan video tersebut dengan aksi pensyarah UiTM itu memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer dan menghina golongan B40 ketika sesi pembelajaran dalam talian.
Tindakannya itu mendapat kecaman hebat netizen dengan segala kecaman dan makian yang dilontarkan terhadap pensyarah UiTM itu yang disifatkan tidak sensitif dengan situasi hidup golongan B40. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram