TEGURAN secara langsung mungkin agak melukakan seperti lukanya jari, namun al-sukhriyyah atau sindiran membenihkan dendam yang membunuh dari dalam.
Pendakwah bebas, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil berkata, tindakan menggunakan pendekatan secara menyindir tidak mendorong anak murid untuk berubah ke arah lebih baik.
Beliau yang juga penulis blog tempatan itu berkata, hal ini kerana akan timbul perasaan bengang, panas telinga dan dendam dalam diri anak murid itu.
"Bukan sebab sindiran kita tidak cukup power untuk sentap dan makan dalam, tetapi sebab formula itu dilarang Tuhan.
"Ia bukan bahasa yang ALLAH restu, tidak kiralah sedalam mana pun budaya itu sudah berakar umbi dalam budaya kita.
"Hati itu tuhan yang punya. Mahu mengubah hati, gunakanlah cara yang ALLAH reda," katanya menerusi penulisan blog.
Tambahnya, ada yang mungkin terlepas pandang bahawa Nabi Nuh AS mengajak, memujuk, mendidik, malah mengancam selama 950 tahun.
Namun katanya, Baginda tidak pula beralih kepada kaedah sindiran kerana sudah puas mengajak secara langsung.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, ada pula segelintir pihak yang berhujah di meja ceramah dan pentas agama dengan mendakwa bahawa ALLAH menyindir ahli neraka dan ahli maksiat dalam al-Quran.
"ALLAH sindir, ALLAH itu tuhan. Kita makhluk. Tidak sempurna. Sama berdosa, sama bergelumang kekurangan. Siapa kita untuk menyindir, ketika nasib kita pun belum tentu?
"ALLAH itu tuhan yang hari-hari didurhakai hambaNya, jarang sekali ALLAH memujuk dengan sindiran.
"Dan jika ALLAH yang menyindir dengan sinis, ia sindiran ALLAH kepada hambaNya. Layak sungguh. Mana mungkin kita sebagai hamba mahu menyindir sesama hamba," katanya.
Terdahulu, tindakan seorang pensyarah sambilan yang memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer dan menghina golongan B40 ketika sesi pembelajaran dalam talian tular di media sosial sejak Selasa.
Video yang tular itu menunjukkan pensyarah yang mengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak tersebut berang kerana salah seorang pelajarnya menghadiri sesi tersebut menggunakan telefon bimbit.
Dalam video itu, pelajar tersebut mengaku dia tidak mempunyai komputer dan bapanya tidak bekerja manakala ibunya pula sudah meninggal dunia.
Pensyarah itu kemudian bertanya sama ada dia mempunyai adik-beradik dan menyuruh kakaknya menjual gelang emas untuk membeli komputer.
Pensyarah itu juga didakwa menghina golongan B40 dengan menyifatkan golongan berkenaan tidak mementingkan pelajaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram