Lagi video pensyarah UiTM maki pelajar B40 tersebar


  • Tular
  • Rabu, 30 Mac 2022

TANGKAP layar satu lagi video tular yang menunjukkan pensyarah tersebut memarahi pelajarnya kerana masuk lambat ke kelas dalam talian.

PADA Selasa, tular satu video yang memaparkan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer dan menghina golongan B40 ketika sesi pembelajaran dalam talian, tular di media sosial.

Tindakannya itu mendapat kecaman netizen yang menyifatkan kata-katanya sebagai tidak profesional dan kurang ajar.

Majlis Perwakilan Pelajar UiTM dalam satu kenyataan pada Rabu menggesa pihak universiti untuk mengambil tindakan terhadap pensyarah itu kerana tindakannya menghina dan memperlekehkan golongan B40 merosakkan imej universiti.

UiTM juga turut mengeluarkan kenyataan dengan memberi jaminan pihaknya akan meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara itu.

Terbaharu, satu lagi video baharu tular di media sosial, kali ini memaparkan pensyarah itu menengking seorang pelajar kerana lambat hadir ke kelasnya yang diadakan secara dalam talian.

Pelajar tersebut menjelaskan bahawa dia terlambat bangun daripada tidur, menyebabkannya lambat menghadiri kelas tersebut.

Namun, alasannya tidak diterima menyebabkan pensyarah itu mengamuk dan memarahinya.

"Kepala hotak kau, memang jenis kaki tak sembahyang Subuh. Aku dah bagitahu dari hari pertama lagi, kau kena datang awal ke kelas.

"Sekali lagi (lewat), aku halau kau daripada kelas... kau cari pasal ya. Semua lecturer tak berani melawan aku, rektor pun tak berani... kecuali kau.

"Sekarang kau tahu betapa garangnya aku, jadi lepas ni jangan datang lambat," teriaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram