SEBANYAK 500 booth (gerai) akan dibuka bersempena dengan Festival Ramadan Selangor 2022 (Festira) yang akan diadakan di SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi, Selangor.
Dianjurkan oleh PKNS Real Estate (PREC), Festira merupakan festival tahunan yang direka khusus bagi menyokong agenda kerajaan negeri dalam usaha membantu usahawan kecil sederhana dan pengusaha tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn. Bhd (PREC), Sr. Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, Festira kali ini menyediakan pelbagai jualan termasuk pilihan busana untuk persiapan Aidilfitri sehinggalah ke bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa.
Menurut beliau, Festira kali ini masih mengekalkan persembahan artis jemputan buat halwa telinga pengunjung ketika membeli-belah.
"Antara barisan artis yang bakal menghiburkan adalah, Haiza, Nomad, Syafiq Naseer, Syahmi Irfan, Aliff Iskandar dan Aufahanie. Juga dibawakan, persembahan seni dan budaya oleh pelajar universiti tempatan.
"Kita turut membawakan ceramah hujung minggu yang akan disampaikan oleh pendakwah dan juga personaliti TV terkenal seperti Ustaz Safwan Idris dan Imam Muda Nazrul," katanya.
Selain itu, jelasnya, Festira juga menampilkan Qalif Nasurdin, 13, seorang tahfiz yang kini sedang menuntut di Maahad Tahfiz Ibnu Sina, Kulim, Kedah untuk melantunkan ayat- ayat suci Al-Quran pada setiap hari Sabtu sebelum berbuka puasa.
Ujarnya, di PKNS Bangi pla, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan Buskers Kerohanian yang diadakan setiap petang, bermula 8 Mac lalu dari pukul 5.00 petang hingga 9 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram