TULAR di media sosial, satu insiden pergaduhan antara pemain dan pengadil dalam kejohanan A-Ligue yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru, Kuala Lumpur.
Pergaduhan itu dikatakan tercetus ketika pasukan KLCE dan Data Sukan berkedudukan seri tanpa jaringan.
Menerusi rakaman tersebut, kelihatan seorang pemain berpakaian jersi nombor 4 dan dikatakan daripada skuad Data Sukan meluru untuk menumbuk pengadil.
Insiden itu dikatakan tercetus selepas pemain terbabit dilayangkan kad merah. Dia dilihat mengejar pengadil namun dapat dihalang oleh pemain-pemain KLCE yang berada dalam padang.
Memetik laporan portal Semuanya Analisis, perlawanan yang berlangsung pada petang Selasa sememangnya amat tegang.
Terdapat insiden lain yang mana gol pasukan Data Sukan telah dibatalkan sekali gus berkemungkinan besar menjadi salah satu punca keberangan pemain skuad itu terhadap pengadil.
Walaupun perlawanan dikatakan lebih didominasi oleh pemain Data Sukan, namun kejadian yang berlaku tersebut telah memaksa pengadil membatalkan perlawanan.
Laporan itu turut menyebut terdapat perbincangan antara penganjur dan pengurus kedua-dua pasukan untuk meneruskan perlawanan, bagaimanapun ia telah menemui jalan buntu.
Pihak penganjur iaitu A-Ligue dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan hal ini dalam masa terdekat.
INSIDEN kekasaran yang berlaku di padang bola Kelab Sultan Sulaiman seperti yang tular di media sosial pada Selasa. — Facebook
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengesan individu terlibat dalam insiden itu sebaik video berkenaan tular.
"Polis mengesan satu video tular pada Rabu (30 Mac), kira-kira pukul 8.30 pagi yang menunjukkan seorang individu dikasari individu lain di padang bola Kelab Sultan Sulaiman.
"Siasatan akan dijalankan dan mana-mana individu yang mempunyao maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu penyiasatan," katanya.
Ini merupakan insiden kedua melibatkan pergaduhan dalam arena bola sepak amatur tempatan pada Mac selepas tular satu rakaman video menunjukkan insiden pergaduhan antara seorang gadis memakai hoodie merah jambu dengan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong skuad amatur, COFC minggu lepas.
Kejadian berlaku semasa perlawanan akhir Liga Puncak Alam di antara COFC dan BP2 (Bandar Putera 2) pada 22 Mac lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram