Video rompakan berkumpulan di Jalan Damai Perdana tular, ini respons polis


  • Tular
  • Isnin, 28 Mac 2022

TANGKAP layar video yang memaparkan kejadian rompakan berkumpulan di sebuah premis di Jalan Damai Perdana, Cheras, Kuala Lumpur. — Facebook

SATU kejadian rompakan sempat dirakam dan tular di media sosial dipercayai berlaku di Jalan Damai Perdana, Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur.

Menerusi video berdurasi lebih 2 minit itu, terdapat sebuah van yang didakwa digunakan sekumpulan pencuri untuk melakukan rompakan di sebuah premis.

Malah, alat penggera premis juga berkecai dan terlihat beberapa suspek cuba membawa barangan rompakan ke dalam van.

Dalam video kedua pula, terdapat tiga buah kenderaan yang didakwa sebagai pemilik premis telah datang dan cuba menghalang kejadian rompakan tersebut termasuk melanggar van yang digunakan perompak dan membunyikan hon.

Perompak itu kemudian telah melarikan diri dengan menggunakan van mereka dan cuba dikejar tiga buah kenderaan lain termasuk pemilik premis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika berkata, kejadian itu berlaku pada 26 Mac lalu kira-kira pukul 6 pagi.

"Kita menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan di sebuah premis perniagaan komputer di Bandar Damai Perdana, Cheras yang telah diserang sekumpulan 15 orang lelaki menggunakan kayu baseball.

"Suspek telah memecah masuk ke dalam premis dan melarikan peralatan perisian komputer yang berada di dalam premis di tingkat 1 yang dianggarkan bernilai RM70,000," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Zaid, suspek dalam kejadian itu menggunakan empat buah kenderaan semasa rompakan dan kenderaan pengawal keselamatan itu juga telah dirosakkan oleh suspek ketika mangsa cuba menghalang mereka daripada melarikan diri.

Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminat menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 atau IPD Kajang (03-89114222). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram