Dituduh bunuh kekasih mati di pangkuan, rupanya dirodok tiga remaja durjana


  • Benua
  • Sabtu, 26 Mac 2022

MANGSA (kiri) dibunuh ketika keluar pergi ke tempat kerja seorang diri dalam kejadian di Jawa Timur, pada Selasa lalu. — Agensi

POLIS berjaya menahan dua daripada tiga suspek pembunuhan seorang pekerja kilang, Iska Nurrohmah, 21, di Desa Tegal Gede, Mekarmukti, Cikarang Utara, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada Selasa lepas.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Polis Metro Bekasi dan Polis Metro Jaya, berdasarkan hasil siasatan dan pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi.

Ketua Polis Metro Bekasi, Komisaris Besar Polisi, Gidion Arif Setyawan berkata, suspek yang dikenali sebagai 'N' dan 'MR' masing-masing berusia 17 dan 20 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan pengakuan, mereka pada mulanya mahu mencari gaduh dan membuat kacau namun niat itu terbantut kerana ada rondaan di kawasan terbabit.

"Mereka kemudian menukar rancangan untuk melakukan jenayah samun apabila ternampak mangsa keluar ke tempat kerja seorang diri.

"Semasa menyamun mangsa, berlaku pergelutan kerana mangsa sempat melawan, namun dia akhirnya ditikam empat kali oleh suspek bernama 'N'," katanya seperti dipetik portal liputan6.com.

074677200_1648202226-IMG-20220325-WA0011

SUSPEK kejadian bunuh seorang pekerja kilang masing-masing berusia 17 dan 20 tahun. — Agensi

Katanya, mangsa yang cedera masih sempat menjerit meminta tolong, sekali gus membuatkan suspek panik dan segera melarikan diri tanpa mengambil harta-benda milik mangsa.

"Jeritan mangsa didengari penduduk setempat, yang kemudian menghubungi polis.

"Malangnya, mangsa tidak dapat diselamatkan kerana kesan tikaman yang serius di bahagian ulu hati. Mangsa maut di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Sebelum ini, Tribun Timur melaporkan mangsa meninggal dalam pelukan kekasihnya hingga ada yang mengatakan lelaki itu dalang utama kes pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, siasatan lanjut pihak polis mendapati kekasih mangsa tiada kaitan dalam kejadian itu.

Daripada hasil siasatan, pihak polis turut mendapati 'N' merupakan bekas penjenayah yang kerap keluar masuk penjara.

"Penjenayah 'N' ini pernah menyamun anggota polis Cikarang Timur ketika pulang daripada tugas vaksinasi. Suspek juga merupakan pelaku insiden tikaman dalam pergaduhan di Rengas Bandung, Kedungwaringin beberapa hari lalu," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram