Bermotif dendam, penolak troli sayur mabuk sebabkan 52 kenderaan terbakar di PPR Intan Baiduri


  • 112
  • Rabu, 09 Mac 2022

SUSPEK dipercayai bertindak demikian dalam pengaruh alkohol kerana tidak berpuas hati dengan seorang lelaki disebabkan satu pertelingkahan. — Facebook

DENDAM mendorong seorang penolak troli sayur membakar sebuah motosikal sehingga mengakibatkan 48 buah motosikal dan empat kereta terbakar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di Jinjang, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komissioner Beh Eng Lai berkata, lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu bertindak menyalakan api pada bahagian kusyen sebuah motosikal sebelum api merebak ke keseluruhan kawasan parkir perumahan tersebut.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai bertindak demikian dalam pengaruh alkohol kerana tidak berpuas hati dengan seorang lelaki disebabkan satu pertelingkahan.

Katanya, suspek telah meminta anak mangsa berusia 20 tahun membeli peralatan menghisap dadah sebulan yang lepas.

"Suspek mengaku melakukan jenayah itu dan tidak menyangka akibat pembakaran berkenaan ia telah melibatkan banyak kenderaan lain turut musnah dijilat api.

"Selain itu, polis turut memanggil dua lelaki untuk tampil sebagai saksi kejadian berkenaan," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beh berkata, suspek memiliki 14 rekod jenayah lampau antaranya kes samun, gaduh dan bunuh, selain lima kes melibatkan salah guna dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di mahkamah pada Khamis.

Pada Jumaat, polis menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 4.21 pagi sebelum pihak bomba memadam kebakaran tersebut sepenuhnya pada 4.56 pagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram