Program Team bantu pembangunan diri golongan muda


  • Primer
  • Khamis, 24 Mac 2022

TENGKU Amir Shah berucap pada majlis resepsi meraikan pencapaian para peserta Program Team di Sunway Hotel & Resorts, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. — Ihsan SAY

SEDAR tentang keperluan golongan muda memerlukan peluang pembangunan diri berikutan penularan Covid-19, Selangor Youth Community (SAY) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kerjasama Masyarakat (JKM) menganjurkan Program Team.

Program Team merupakan sebuah program pembangunan belia selama sembilan minggu bagi membantu golongan belia bersasar dari aspek pendidikan, latihan dan pekerjaan.

Mereka yang terlibat dalam program itu terdiri daripada kategori berkeperluan tinggi dan berisiko di bawah usia 18 tahun daripada institusi di bawah JKM.

Pengasas SAY yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berasa bangga dengan kejayaan semua anak muda yang menyertai program berkenaan dan berharap organisasi itu dapat membantu lebih ramai lagi golongan belia di luar sana.

"Namun, kita harusi akui bahawa sesetengah golongan berdepan dengan pelbagai cabaran (bangsa, jantina, agama, keluarga dan latar belakang sosioekonomi) yang menghalang mereka mencapai potensi sepenuhnya.

"Dalam Program Team, kami ingin membantu belia mengharungi cabaran yang mereka hadapi.

"Kami merangka modul yang dinamik serta bekerja dengan pelbagai organisasi yang sedia memberi pendedahan dan peluang kepada golongan belia," katanya ketika majlis resepsi meraikan pencapaian para peserta Program Team di Sunway Hotel & Resorts, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara SAY dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM.

MoU itu ditandatangani untuk memupuk semangat kolaborasi jangka panjang antara SAY dan JKM yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat luas menerusi pelbagai program dijalankan.

Selain itu, pada majlis sama, SAY turut menandatangani MoU bersama Manforce Group Berhad iaitu sebuah badan swasta yang bertindak sebagai agensi pekerjaan diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Kerjasama tersebut bertujuan menghubungkan golongan muda dalam Program Team dengan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri selepas tamat sesi latihan menerusi jaminan peluang pekerjaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram