BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal mengakui pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah memberi bantuan kewangan kepada Selangor satu ketika dahulu.
Menurutnya, sumbangan tersebut diterima oleh Selangor ketika beliau memegang jawatan Presiden FAS pada 2017 hingga 2018.
"Semua pemain Selangor ketika itu amat menghargai keprihatinan baginda yang sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal kebajikan pemain dan pasukan bola sepak tempatan.
"Sekali lagi, di atas budi baginda kepada FAS, saya secara peribadi mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan bantuan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Tunku Ismail menerusi satu ciapan di Twitter pada Isnin berkata, baginda pernah menyalurkan bantuan kewangan kepada Selangor ketika pasukan itu di bawah kelolaan Subahan.
"Saya memberi bantuan pada masa Datuk Subahan dulu. Zaman-zaman Selangor masih hebat dan champion.
"Sekarang ni semenjak Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) ambil alih dengan expert (pakar) bola sepak tanah air, dan terima banyak bantuan duit daripada kerajaan maka mereka tak perlu bantuan. Syabas saya ucapkan," ciapnya.
Subahan turut memuji Tunku Ismail dengan mengatakan bahawa baginda mempunyai semangat tinggi terhadap bola sepak Malaysia dan sentiasa menunjukkan daya kepimpinan tinggi, proaktif serta sentiasa mahu melihat kemajuan pasukan-pasukan bola sepak di negara ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram