TANDA verified atau verifikasi yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera didakwa sebagai satu kaedah untuk memaksa orang ramai mengemaskini aplikasi tersebut.
Perkara itu dikongsi akaun Twitter, Malaysian Freedom Movement (MFM) yang turut menyatakan bahawa antara sebab orang ramai perlu mengemaskini aplikasi berkenaan adalah sebagai 'hukuman' buat golongan anti booster selain dan ingin mengekalkan status mereka yang telah divaksin sepenuhnya.
"Sebab mereka meletakkan tanda yang disahkan (verified) ini dalam MySejahtera adalah untuk meminta semua orang mengemas kini aplikasi tersebut.
"Sebab mereka mahu semua orang mengemas kini aplikasi itu adalah untuk menghukum mereka yang anti booster dan ingin mengekalkan status mereka yang telah divaksin sepenuhnya," dakwanya menerusi twit itu.
Dakwanya lagi, bagi mereka yang ingin menegekalkan status sudah divaksin sepenuhnya, pengguna boleh menggunakan versi lama aplikasi tersebut dan memutuskan sambungan internet pada peranti mereka.
Pemilik akaun berkenaan turut mendakwa bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak peduli jika rakyat mengalami kesan sampingan daripada dua dos vaksin dan juga dos penggalak.
Hurainya lagi, pemberian vaksin bukan bertujuan untuk kesihatan rakyat semata-mata tetapi demi keuntungan pihak-pihak yang terlibat.
"Jika kita membiarkan perkara ini berterusan, aplikasi pasport kesihatan, pengesanan kenalan MySejahtera ini akan berubah menjadi aplikasi ID digital penuh untuk semua aspek kehidupan dan bukan hanya kesihatan.
"Gabungkan ID digital ini dengan Sistem Kredit Sosial sama seperti ideologi komunisme di Malaysia," kongsinya.
Sehubungan dengan itu, MFM turut berkongsi penyelesaian untuk dakwaan mereka.
Jelasnya, orang ramai perlu berpegang pada pendirian dan katakan tidak kepada dos penggalak.
"Jangan sokong pertubuhan yang berkeras supaya pengguna perlu ada tanda biru (verified).
'Kepada mana-mana kumpulan yang menegaskan semua orang ramai perlu mendapatkan penggalak, saya berdoa anda dan ahli keluarga anda supaya tidak mengalami kesan sampingan yang teruk daripada dua dos vaksin," ujarnya yang turut tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada dos penggalak yang keempat dan kelima pada masa akan datang.
Belum ada sebarang respons dari pihak KKM dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram