Kes Covid-19 kembali meningkat


  • Primer
  • Rabu, 23 Mac 2022

SEBANYAK 1,339 kes positif Covid-19 melibatkan kemasukan ke hospital dilaporkan pada Selasa.

SELEPAS lima hari berturut-turut mencatat penurunan di bawah angka 20,000, kes positif harian Covid-19 negara pada Selasa meningkat semula dengan merekodkan 21,483 kes berbanding 17,828 pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21,483 kes positif Covid-19 yang dicatatkan pada Selasa, 1,339 kes melibatkan kemasukan ke hospital dengan 553 kes atau 41.3 peratus adalah dalam kategori 3, 4, dan 5 manakala 786 kes atau 58.7 peratus adalah kategori 1 dan 2.

Beliau berkata, 32,561 kes sembuh dilaporkan pada Selasa, menjadikan kumulatif kes sembuh 3,745,229 kes, dan tiga negeri menunjukkan peratusan pengisian katil Covid-19 bagi kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (70 peratus), Johor (62 peratus), dan Selangor (60 peratus).

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 209 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 24 peratus.

Mengenai nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara, beliau berkata ia menurun kepada 0.91 dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.01 diikuti Perak dengan 1.00. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram