Wujudkan kaunter khas untuk APS di JTKSM, Imigresen — PAPSMA


  • Massa
  • Isnin, 21 Mac 2022

SEBUAH kaunter khas untuk APS dengan Lesen C dicadang dibuka di JTKMS dan Jabatan Imigresen setiap negeri bagi memudahkan pengambilan pekerja asing. — Gambar hiasan/Bernama

PERTUBUHAN Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyambut baik langkah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang membenarkan majikan menggunakan khidmat Agensi Pekerjaan Swasta (APS).

Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, sebanyak 501 APS kategori lesen C yang berdaftar bersedia menjadi pengantara kepada majikan dalam permohonan dan proses pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Beliau berkata, PAPSMA akan sentiasa memastikan semua pihak mematuhi terma dan syarat yang telah diberikan kepada pertubuhan bagi melicinkan proses kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

"PAPSMA mencadangkan supaya satu kaunter khas untuk APS ini diwujudkan terutamanya di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen di setiap negeri bagi memudahkan pengambilan pekerja asing oleh pihak majikan.

“Kami berharap Kementerian Dalam Negeri juga akan memberi penekanan kepada anggota berlesen kami yang dibenarkan dan diberi kuasa oleh KSM untuk menyelaras dan menguruskan pengambilan pekerja asing untuk majikan.

"Kami juga ingin mendapatkan kerjasama pihak Jabatan Imigresen untuk mengiktiraf kami sebagai identiti sah untuk menjadi fasilitator kepada majikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, pihaknya juga akan memastikan proses permohonan diuruskan dalam tempoh singkat agar mampu membantu sektor perniagaan meneruskan operasi selepas menghadapi masalah kekurangan pekerja akibat pandemik.

“APS juga memainkan peranan penting dalam mencari dan mendapatkan pekerja bersesuaian dengan kemahiran yang betul untuk memenuhi kekosongan pekerjaan selepas ramai pekerja asing meninggalkan negara selepas tamat kontrak kerja mereka.

“Selain itu, APS juga berperanan mengenal pasti ejen pengambilan pekerja asing di negara sumber untuk mencari dan merekrut pekerja mahir dan berpengalaman yang betul untuk industri dan sektor sesuai bagi majikan di Malaysia,” ujarnya.

PAPSMA turut mencadangkan supaya kementerian mewujudkan kaunter khas untuk APS dengan Lesen C terutamanya di JTKMS dan Jabatan Imigresen di setiap negeri.

Untuk rekod, sehingga 17 Mac lalu, sebanyak 313,014 permohonan pekerja warga asing diterima membabitkan sektor perkilangan (193,346), perkhidmatan (48,119), perladangan (36,950), pembinaan (27,331), pertanian (7,248) dan perlombongan dan pengkuarian (20).

Semua permohonan yang diterima diproses secara berperingkat dan kelulusan bagi permohonan tersebut mula diberikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram