PAPSMA gesa kerajaan guna ejen berdaftar kurangkan birokrasi bawa masuk pekerja asing


  • Massa
  • Selasa, 15 Mac 2022

KSM menerima pemohonan untuk pengambilan pekerja dari Bangladesh dan kini sedang dalam proses penapisan. — Gambar hiasan

PERTUBUHAN Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri turut menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi pekerjaan yang bernaung di bawahnya untuk mempercepatkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, pihaknya memberi jaminan proses permohonan yang dibuat pihaknya dapat memendekkan masa dan memudahkan urusan kemasukan ratusan ribu pekerja asing ke Malaysia.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya bimbang dengan penggunaan sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang digunakan kerajaan ketika ini dikhuatiri melambatkan proses permohonan itu selepas banyak masalah dan gangguan timbul.

Katanya, keadaan itu menyebabkan majikan sangat sukar memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam sistem platform digital tersebut.

“Permohonan adalah sangat ketat dan proses kelayakan untuk kelulusan, memerlukan banyak dokumentasi dan kriteria yang perlu dipenuhi.

“PAPSMA menggesa permohonan melalui sistem itu diperhalusi semula bagi memudahkan kemasukan dan kelulusan supaya tempoh masa pengambilan pekerja asing bagi memenuhi jurang kerja besar dapat dipendekkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

sukumaran

SUKUMARAN berkata, permohonan pekerja asing dari negara sumber memerlukan banyak dokumentasi dan kriteria yang perlu dipenuhi.

Beliau berkata, PAPSMA yang mewakili majoriti agensi berlesen C berharap dapat diberi kuasa untuk menjadi fasilitator kepada majikan dalam pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Malah katanya, sokongan daripada Kementerian Sumber Manusia juga sangat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan agensi berdaftar di bawah PAPSMA.

Beliau berkata, agensi di bawah PAPSMA berisiko untuk menutup perniagaan mereka dan mengalami kerugian akibat tidak dapat berfungsi walaupun terletak di bawah kategori lesen diluluskan oleh kementerian itu.

“Kami mempunyai kira-kira 1,100 agensi pekerja asing berdaftar dan berlesen setakat ini berbanding dengan lebih 10,000 ejen haram di negara ini.

“Jika kami tidak diberi mandat seperti yang diluluskan dalam lesen, kami mungkin menutup operasi dan menutup perniagaan.

"Kami ‘dilahirkan’ oleh Kementerian Sumber Manusia dan apabila kementerian tidak menyokong perkhidmatan kami, kami mengalami situasi yang sama dengan semua ejen haram lain dan tidak dibenarkan menjalankan perniagaan pengambilan pekerja asing di negara ini,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan sebelum ini berkata, pihaknya sudah menerima sebanyak 200,000 permohonan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh ke Malaysia.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya sedang menapis setiap permohonan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram