KES positif harian Covid-19 negara mencatatkan trend penurunan untuk hari keempat berturut-turut apabila turun ke paras bawah 20,000 dengan 19,105 kes dicatatkan pada Ahad berbanding 22,341 yang direkodkan pada Sabtu (19 Mac).
Berdasarkan data di laman web COVIDNOW, kali terakhir negara mencatatkan kes positif Covid-19 di bawah 20,000 kes ialah pada 10 Februari tahun ini apabila 19,090 kes direkodkan.
Kes positif harian Covid-19 kemudian meningkat kepada 20,939 kes pada 11 Februari dan terus menunjukkan trend peningkatan sehingga mencecah 32,800 pada 11 Mac lepas sebelum turun kepada 26,250 kes pada 12 Mac.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes sembuh Covid-19 yang dicatatkan pada Ahad adalah 28,250 kes, lebih tinggi berbanding kes positif yang dicatatkan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 18,912 kes atau 98.99 peratus dalam kategori satu dan dua, manakala sebanyak 8,267 kes dalam kategori satu manakala kes dalam kategori dua adalah 10,645 kes.
Menurutnya, sebanyak 193 kes atau 1.01 peratus daripada jumlah keseluruhan 19,105 kes positif Covid-19 yang dicatatkan itu dalam kategori tiga, empat dan lima.
"Kadar kebolehjangkitan atau Rt yang dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.93 dengan Sarawak mencatatkan kadar paling tinggi iaitu 1.03 dan kadar paling rendah di Sabah iaitu 0.64.
"Lima negeri menunjukkan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (66 peratus), Perlis (64 peratus), Kelantan (58 peratus) dan Selangor (56 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, kajian dan pengawasan genomik berterusan yang dijalankan oleh tujuh universiti dan Institut Penyelidikan Perubatan menunjukkan varian Omicron telah mula menggantikan varian Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia.
Katanya, tiga sub-lineage varian Omicron yang wujud di negara ini ialah BA.1, BA.1.1, dan BA.2 dengan kebimbangan terhadap sub-lineage BA.2 kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi yang lebih tinggi berbanding sub-lineage Omicron yang lain serta varian Delta.
"Bagi tempoh 1 hingga 17 Mac tahun ini didapati varian Omicron sub-lineage BA.2 meningkat kepada 27.1 peratus berbanding pada Januari dan Februari tahun ini, dengan pelaporan untuk varian Omicron sub-lineage BA.2 hanyalah masing-masing 0.9 peratus dan 2.7 peratus. Kenaikan mendadak sub-lineage BA.2 adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian,” katanya.
Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan bahawa besar kemungkinan varian Omicron sub-lineage BA.2 akan menjadi varian yang dominan di Malaysia.
Justeru katanya, penduduk Malaysia perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2.
"Pada masa sama, masyarakat juga perlu berwaspada dengan penularan berpanjangan Delta yang berupaya mengakibatkan jangkitan lebih serius terutama dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima dos penggalak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram