BEBERAPA bulan yang lalu, kecoh apabila van ambulans dihentikan polis trafik bagi memberi laluan kepada konvoi orang kenamaan (VIP) dan video yang tular itu mendapat kritikan daripada netizen.
Ramai yang berpendapat bahawa nyawa yang berada di dalam ambulans itu sebenarnya lebih penting daripada konvoi yang terlibat.
Pada Isnin lalu, muncul lagi sebuah video yang memaparkan sebuah ambulans terpaksa dihentikan oleh anggota trafik kerana ingin memberi laluan kepada konvoi program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall, Johor pada Sabtu lalu.
Seperti yang dijangka, ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan polis trafik berkenaan namun berbeza pula dengan seorang pemandu ambulans, menggunakan nama Muhd Azul di Facebook yang menyatakan rasa setuju dengan situasi tersebut.
"Memang betul tindakan polis menghentikan ambulans. Daripada dalam video itu kita boleh nampak betapa laju konvoi itu bergerak sebelum ambulans itu dihentikan oleh polis.
"Kenapa perlu membahayakan banyak nyawa sedangkan kita boleh elakkan kejadian tu dari berlaku. Sebenarnya ramai juga pemandu ambulans setuju ambulans tersebut dihentikan sementara bila tengok video tu.
"Tahniah anggota trafik yang bertugas. Nanti ada la komen tunggu la sedara ko dalam ambulans tu nanti," katanya.
Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid turut memberi respons berkenaan kejadian berkenaan dengan mengatakan bahawa tindakan polis adalah untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan.
"Sekiranya anggota trafik memberi laluan hijau kepada ambulans, dikhuatiri akan berlaku pertembungan antara ambulans dan kenderaan konvoi di laluan turun bukit dan 100 meter di hadapan lebih awal antara jalan utama dan jalan keluar dari susur Jalan Danga Bay.
"Semasa kejadian, ambulans yang datang dari arah susur Jalan Danga Bay tetap diberikan keutamaan laluan, malah anggota bertugas turut memberi ruang laluan kepada ambulans antara kenderaan lain untuk maju ke hadapan.
"Anggota bertugas juga telah membuat penilaian daripada setiap sudut keselamatan dan setelah konvoi berlepas, ambulans diberikan laluan hijau untuk meneruskan perjalanan. Penahanan ambulans hanya berdurasi 30 saat,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram