Tindakan polis tahan ambulans di JB elak risiko besar kemalangan


  • 112
  • Isnin, 07 Mac 2022

SEKIRANYA anggota trafik memberi laluan hijau kepada ambulans, dikhuatiri akan berlaku pertembungan antara ambulans dan kenderaan konvoi. — Facebook

TINDAKAN polis menahan sebuah ambulans di susur Jalan Danga Bay ke Jalan Johor Bahru ketika melakukan kawalan lalu lintas pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall, Johor pada Sabtu lepas bertujuan mengelakkan risiko besar kemalangan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, sekiranya anggota trafik memberi laluan hijau kepada ambulans, dikhuatiri akan berlaku pertembungan antara ambulans dan kenderaan konvoi di laluan turun bukit dan 100 meter di hadapan lebih awal antara jalan utama dan jalan keluar dari susur Jalan Danga Bay.

"Semasa kejadian, ambulans yang datang dari arah susur Jalan Danga Bay tetap diberikan keutamaan laluan, malah anggota bertugas turut memberi ruang laluan kepada ambulans antara kenderaan lain untuk maju ke hadapan.

"Anggota bertugas juga telah membuat penilaian daripada setiap sudut keselamatan dan setelah konvoi berlepas, ambulans diberikan laluan hijau untuk meneruskan perjalanan. Penahanan ambulans hanya berdurasi 30 saat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya telah terkesan dengan video berdurasi 46 saat yang memaparkan kejadian berkenaan, melibatkan dua anggota sedang bertugas membuat 'cut off' atau 'point duty' seperti yang tular di media sosial.

Susulan itu, Rupiah berkata, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan komen dan maklumat tidak benar, serta tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

112, polis, johor, ambulans, tahan,