SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan lemas akibat terperangkap di dalam kereta, selepas kenderaan yang dinaikinya itu terbabas ke dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah, Perak.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis disahkan meninggal dunia, manakala ibunya, 30, serta adik perempuannya, 4, tidak mengalami kecederaan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dipandu ibunya dalam perjalanan dari Malim Nawar ke Ulu Dedap, telah hilang kawalan akibat terlanggar air bertakung, lalu terbabas ke kanan jalan dan masuk ke tali air," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Barudin berkata, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya berjaya menemukan mangsa pada pukul 8.12 malam Khamis.
"Setibanya jentera di lokasi kami mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa tersebut terbabas ke dalam tali air berkedalaman 3.65 meter. Bagaimanapun ibu dan adik perempuannya (Muhamad Harith Sulayman) telah diselamatkan oleh orang awam terlebih dahulu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram