Dulu jual manik tudung di kolej, pereka fesyen pernah jahit untuk kerabat Diraja


  • Bizz
  • Sabtu, 19 Mac 2022

FARHA Jainudin bersama ibu bapanya (kiri) ketika pembukaan kedai InRaffah di Sri Gombak pada 2018.

KETIKA pelajar lain hanya fokus menimba ilmu di menara gading, Farha Jainudin menjadi pelajar yang mengambil peluang belajar sambil berniaga di pusat pengajiannya iaitu Kolej Universiti Kuala Lumpur.

Pelajar jurusan Diploma Rekabentuk Fesyen dan Pakaian itu mula berniaga sekitar 2015 dengan menjual manik pada tudung dan hanya menjahit tanpa menggunakan mesin jahit.

Daripada hanya menjual manik, wanita berasal dari Gombak itu mula memberanikan diri dengan mengembangkan perniagaannya kepada menjual baju rekaannya sendiri bermodalkan wang simpanan sebanyak RM500.

"Bila jual baju, baru nampak dari aliran saya belajar dengan perniagaan saya iaitu fashion design. Masa itu memang gunakanlah apa yang kita belajar itu dengan kerja.

"Alhamdulillah jualan dapat sambutan. Lepas itu saya putuskan buat koleksi raya. Mulalah saya buat networking dengan orang. Mula buka booth, masa raya kan ada Mood Republik. Masa itulah buat kecil-kecilan iaitu pop out store.

"Lepas habis belajar itu saya nak cari pengalaman. Dalam masa 2015 mula berniaga, 2016 tamat pengajian. Saya kerja dengan orang sebab nak cari pengalaman. Saya kerja tak sampai setahun. Saya mula buat perniagaan dengan rakan pada 2017," katanya kepada Majoriti.

rekaaan

ANTARA lakaran dan hasil rekaan baju tempahan pelanggan InRaffah.

Farha berkata, pada awalnya, dia bersama rakannya mengambil tempahan jahitan pukal terutamanya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mereka mengambil tempahan dari 30 ke 50 jahitan sahaja.

Semasa 2017, Farha dan rakan perniagaannya mula memfokuskan untuk mengambil tempahan baju majlis perkahwinan, majlis pertunangan dan baju pengapit pengantin.

Walaupun pemilik butik InRaffah itu akui banyak pelanggan dalam kalangan PKS, namun dia juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil tempahan dari syarikat besar seperti Jakel dan Minaz.

"Saya tak ingat berapa banyak baju kahwin dah buat. Banyak sangat. Tapi kalau setahun ada dalam 50 ke 80 pengantin selain evening dress," katanya.

Malah, dia juga pernah menaja selebriti terkenal tanah air iaitu Siti Nordiana untuk sebuah rancangan televisyen pada 2016 dan menghasilkan baju untuk kerabat diraja Selangor, Yang Mulia Tengku Loreta Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj.

rekaan 1

HASIL rekaan Farha untuk Siti Nordiana (kiri) dan Tengku Lorena (kanan).

Ragam pelanggan

Bercerita tentang asam garam kerjayanya, Farha mengakui ada ragam tersendiri dalam kalangan pelanggannya sehingga ada yang berhajat ingin menjadikannya menantu, selain terdapat juga pelanggan yang mengatakan dirinya iras artis Bollywood serrta beberapa artis tanah air seperti Izara Aisyah serta Lufya Akademi Fantasia.

"Ada yang mencuit hati bila ada pelanggan tanya sudah kahwin ke dan mahu jodohkan dengan anak lelakinya.

"Ada juga yang tanya saya ni artis ke. Ada cakap artis Hindustanlah, Lufya-lah, Izara Aisha pun pernah," kongsi wanita kacukan India itu.

WhatsApp Image 2022-03-17 at 20.42.33

PEMILIK InRaffah, Farha (kanan) bersama Lufya Akademi Fantasia.

Malah, Farha menceritakan pengalaman berdepan dengan pelanggannya yang tidak dapat membayar penuh bagi sepasang pakaian, namun dia memberi peluang untuk membayar secara ansuran kerana baginya pelanggan sudah seperti keluarga.

Menurutnya, baju yang dijualnya sangat mampu milik iaitu hanya sekitar RM300 hingga RM400 berbanding dengan peniaga luar yang menawarkan harga sehingga mencecah ribuan ringgit untuk sepasang pakaian.

"Secara jujur, kalau awak pergi mana-mana pun pereka terkenal, tidak terkenal pun untuk baju pengantin lelaki dan perempuan untuk upah jahit boleh cecah lebih RM1,000.

"Dengan saya, bersembang pun sudah sejam untuk bincang rekaan yang dikehendaki pelanggan.

"Kalau designer luar, sesi konsultan dah banyak kenakan bayaran sampai beratus ringgit. Paling murah saya pernah bagi baju pengantin RM130 dengan bridal face mask, veil dan mini beg. Memang bajet dia rendah. Rezeki dialah. Selepas itu, rezeki saya melimpah.

"Pelanggan saya macam keluarga dah, kadang kala ada pelanggan nak adjust baju, saya tak minta bayaran pun. Kalau kita layan pelanggan baik, kita akan dapat dua-dua kebaikan. Orang akan datang cari kita," katanya.

WhatsApp Image 2022-03-17 at 20.42.34 (1)

REKAAN berharga RM130 yang dihasilkan InRaffah buat pelanggannya.

Cuma, sifat pemurahnya tetap dipersoalkan segelintir pelanggannya.

Mereka menganggap perniagaan Farha tidak akan maju dan boleh muflis jika dia terus bersikap sedemikian.

Namun kata-kata mereka itu tidak mematahkan semangat Farha.

"Ada saja yang saya kena follow up sebab mereka susah nak bayar. Ada saja pelanggan yang sampai sekarang tidak bayar. Saya reda jelah," katanya.

Jatuh bangun

Setiap perniagaan pasti ada detik jatuh dan bangun. Farha juga tidak terlepas daripada dugaan sedemikian.

Mengimbas kembali detik jatuhnya, Farha berkata, waktu itu dia terpaksa berulang alik dari Gombak ke Shah Alam akibat perselisihan faham bersama rakan niaganya.

Dia mengakui pada ketika itu dirinya berada dalam fasa tertekan dan berasa kosong.

"Masa itu saya muda, jadi tidak tahu perangai orang sekeliling. Perkara itu mudah diuruskan apabila kita saja tahu apa kita nak. Bila ada beberapa kepala, ia mencampur adukkan idea, jadi saya putuskan untuk buat sendiri.

"Pernah sekali, semasa saya tiada kakitangan, saya sendiri keluarkan roll kain dari lori. Dekat situ saya rasa susah nak berniaga," katanya.

Farha berkata, apabila mula berputus asa, ibu bapa, keluarga dan kakitangan menjadi motivasi untuknya.

"Patutnya semasa umur 24, 25, 26 tahun, saya sudah boleh belanja duit yang ada dengan jalan-jalan bersama kawan. Tetapi daripada melakukan perkara itu, saya pilih untuk simpan duit demi perniagaan, kakitangan dan keluarga.

"Saya tidak menyesal. Saya sudah niat nak fokus berniaga, jadi kena fokuslah. Kalau saya tidak jaga betul-betul perniagaan ni, macam saya hilang support system. Kalau down pun, angkat je lah badan itu dan teruskan kerja," ceritanya lagi.

Justeru, wanita itu menanam impian supaya butik InRaffah akan mempunyai cawangan di setiap daerah dan dapat membantu pelanggan yang mencari harga baju serta tempahan pukal yang mampu milik.

"Saya ada impian kecil. Kalau orang lain mungkin berimpian nak buka kilang. Tetapi dalam lima tahun akan datang, saya berharap jenama Inraffah akan ada di setiap daerah.

"Di Ampang ada, di Gombak ada. Saya nak berniaga yang boleh bantu orang, maksudnya bila orang nak baju murah tapi berbaloi, mereka akan terfikir InRaffah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram