'Eye bag' perkara biasa apabila seseorang meningkat usia


  • Sihat
  • Jumaat, 18 Mac 2022

'EYE BAG' tidak mendatangkan bahaya, cuma mungkin akan menyebabkan anda kelihatan lebih tua berbanding usia sebenar. — Gambar hiasan

'EYE BAG' atau turut dikenali sebagai kantung mata merupakan masalah mata yang menyebabkan sembab, bengkak ringan atau bengkak pada bahagian kelopak bawah mata.

Pakar kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, ia adalah perkara biasa apabila seseorang individu semakin meningkat usia.

Beliau berkata, apabila usia semakin meningkat, struktur tisu dan otot yang menyokong kelopak mata akan menjadi lemah.

"Kulit cenderung untuk menjadi kendur dan lemak di sekitar mata akan bergerak ke bahagian bawah mata.

"Selain itu, ruang mata juga boleh mengumpulkan cecair, menjadikan ia nampak bengkak," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jelasnya, antara beberapa faktor yang boleh menjadi punca kepada masalah 'eye bag' adalah seperti berikut:

1. Tidak cukup tidur

Apabila tidak mendapat tidur atau rehat yang mencukupi, mata seseorang wanita itu boleh ada 'eye bag'.

Sudah tentu jika tidak mendapat tidur yang cukup, ia akan mengganggu keadaan mata.

2. Alahan (Allergic)

Seseorang itu memang boleh mendapat 'eye bag' jika mempunyai alahan. Walaubagaimanapun, 'eye bag' di bawah mata adalah satu kebimbangan kosmetik dan tidak memerlukan rawatan khusus.

Rawatan di rumah dan menukar gaya hidup boleh membantu mengurangkan atau menghapuskan mata bengkak.

Lain-lain punca termasuk:

3. Merokok

4. Faktor genetik atau keturunan

5. Pengumpulan cecair, terutama apabila bangun atau menikmati makanan masin

Terdapat kemungkinan selain mengalami ‘eye bag’, anda juga akan cenderung untuk mengalami lingkaran gelap bawah mata.

Ia tidak mendatangkan bahaya, cuma mungkin akan menyebabkan anda kelihatan lebih tua berbanding usia sebenar.

Tetapi, jika bengkak pada kawasan mata menimbulkan kesakitan, rasa gatal, kemerahan atau tidak hilang dalam masa beberapa hari, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram