
PERMINTAAN yang menggalakkan terhadap madu kelulut membuka peluang kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Sarawak untuk mula menceburi dan terlibat secara aktif dalam bidang ternakan lebah jenis tidak menyengat itu.
Malah, melalui ternakan berkenaan juga dapat membantu golongan B40 di negeri itu meraih pendapatan lumayan.
Atas dasar itu, program Innovation for Community (INNO4C) yang diseliakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) membantu dalam memperkasakan penternakan madu kelulut dalam kalangan keluarga B40 di Sarawak.
Ketua program INNO4C, Syed Yusof Syed Kechik berkata, harga madu kelulut semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga ratusan ringgit sekilogram berikutan permintaan yang melebihi penawaran.
“Amat rugilah sekiranya keluarga B40 di Sarawak tidak melipat gandakan usaha mereka bagi mengerjakan projek ternakan madu kelulut dan memasarkan hasil tuaian pada skala yang lebih besar.
“Menerusi bimbingan kaedah penternakan secara inovatif melalui teknologi Kelulunomic yang terdiri daripada penggunaan Mustafa-Hive, MILOS, buku SOP, peralatan menyedut madu, mesin HILDA, refractometer, pembungkusan madu dan ujian makmal; peningkatan kualiti serta harga pasaran madu kelulut berjaya dicapai hingga memenuhi piawaian sebagai premium honey dengan kandungan 20 peratus tinggi gula ‘trehalulosa’.
“Dengan ini, permintaan rakan industri seperti Bayu Gagah (M) Sdn Bhd dan Corak Rentak Sdn Bhd untuk memasarkan madu kelulut di bawah program INNO4C ke Arab Saudi, China serta Amerika Syarikat turut dapat dipenuhi,” katanya.
KAWASAN penternakan madu kelulut.
Menurut Syed Yusof, menerusi insiatif tersebut, antara peserta dari Sarawak yang dapat dibantu dalam meningkatkan pendapatan dan mensejahterakan kehidupan mereka termasuk penduduk Kampung Belungei, Lundu; Tanjung Mas, Maludam; Masjid Al-Amin, Beladin; Kampung Dato Godam, Pusa; Kampung Batang Maro, Kabong dan Kampung Alit, Kabong.
Tambahan lagi, Syed Yusof berkata, progam INNOV4C itu adalah selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia kerana berupaya mentranformasi keluarga B40 ke arah kehidupan yang lebih baik melalui pendekatan Quadruple Helix Model.
PEMERIKSAAN kualiti madu kelulut.
Anak tempatan dari Kampung Belungei, Matmuda Dillah, 61 berkata, beliau mampu menjana pendapatan sehingga mencecah ribuan ringgit sekali tuaian madu kelulut melalui program INNO4C.
“Memandangkan madu kelulut sekarang boleh dijual dengan harga yang tinggi, ia memberi pulangan keuntungan dalam masa beberapa bulan sahaja jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
“Melalui penternakan lebah madu kelulut di bawah program INNO4C, saya berupaya menjana ekonomi keluarga dengan memperoleh pulangan sekitar RM1400 pada bulan sebelumnya untuk sekali tuaian sahaja,” tambahnya.
Bagi Sukma Alek, 32 berkata, harga pasaran madu jenis kelulut terpaksa dinaikkan ekoran kadangkala beliau terpaksa mendapatkan sarang kelulut tambahan bagi memenuhi permintaan yang tinggi daripada pembeli.
“Dengan peningkatan harga pasaran madu kelulut, sekurang-kurangnya kami masih lagi mampu meraih pendapatan dan tidak mengalami kerugian yang besar untuk setiap kali proses tuaian dibuat,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram