DAKWAAN segelintir pihak yang menyatakan bahawa anak muda zaman kini adalah malas hanyalah mitos semata-mata.
Usahawan terkenal, Khairul Jamain atau lebih dikenali sebagai KJ berkata, anak muda sebaliknya tidak fit atau tidak sesuai dengan sistem pekerjaan yang wujud ketika ini.
"Jadi bayangkan tak semua anak muda boleh fit dengan sistem lapan ke lima (waktu bekerja bermula 8 pagi hingga 5 petang).
"Sebab zaman sekarang anak muda bukan malas tetapi anak muda perlukan fleksibiliti cara untuk mereka bekerja," katanya menerusi laman Instagram.
Tambahnya, anak muda sekarang memerlukan cara bekerja secara bebas atau meluahkan sesuatu perkara yang mereka rasai.
Oleh sebab itu, katanya, banyak pekerjaan secara freelance atau separuh masa diwujudkan, termasuk melakukan servis penghantaran makanan kerana ia adalah cara masa kini.
"Jadi, dengan cara sistem yang lama tak fit, dan untuk mengatakan anak muda itu salah adalah salah. Anak muda tak malas sebenarnya, sebab dulu mereka memerlukan security.
"Tetapi, zaman sekarang mereka memerlukan freedom. Cara mereka bekerja betul dan mungkin sistem lama itu perlu diubah sama," jelasnya.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dikritik hebat apabila mendakwa Melayu malas.
Namun, Tun M menegaskan, kenyataan yang beliau suarakan itu satu kebenaran berdasarkan pemerhatiannya yang mendapati masih ramai orang Melayu tidak mahu bekerja.
Beliau ketika Kongres Maruah Melayu pada Oktober 2019 menyifatkan, masyarakat Melayu tidak sanggup membuat kerja berat dan kasar kerana berasakan ia pekerjaan hina serta berpendapatan kecil.
Katanya, ia berbeza dengan warga asing yang datang ke negara ini dan sanggup bekerja dalam pekerjaan yang dianggap kotor, sukar dan berbahaya tetapi akhirnya berjaya memajukan diri.
Tambahnya, orang Melayu tidak boleh berharap kepada orang lain atau kerajaan untuk memajukan diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram