MALAYSIAN Industrial Development Finance Bhd (MIDF), dengan kerjasama bersama SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperkenalkan bantuan pembiayaan khas di bawah Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0).
Ia versi yang telah ditambah baik daripada dana Kecemasan PKS (SMEEF) yang pertama kali diumumkan pada 2012.
"SMEEF 2.0 yang diperkenalkan pada 15 Februari 2022, adalah bantuan pembiayaan khas untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini,” kata MIDF dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dana itu disediakan oleh oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui SME Corporation Malaysia dan diuruskan oleh MIDF.
Menurut MIDF, SMEEF 2.0 menawarkan bantuan pembiayaan sehingga RM100,000 kepada PKS terjejas akibat banjir dalam semua sektor ekonomi meliputi pelbagai keperluan asas perniagaan termasuklah untuk pembiayaan aset seperti mesin, membaik pulih premis perniagaan serta modal kerja.
"Penambahbaikan lain di bawah SMEEF 2.0 termasuk tempoh pembiayaan sehingga lima tahun, moratorium 12 bulan dan kadar pembiayaan sifar peratus untuk pemohon yang berjaya,” katanya.
Untuk layak menerima bantuan kecemasan ini, PKS yang beroperasi di kawasan bencana hendaklah memberikan bukti terkesan dengan bencana banjir ini dalam bentuk surat daripada pejabat daerah atau salinan laporan polis.
Bagi maklumat lanjut mengenai bantuan untuk PKS ini boleh menghubungi Unit Penasihat Perniagaan di talian 1-300-88-6433 atau e-mel di G[email protected].
PKS yang terjejas juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dan memohon SMEEF 2.0 melalui laman web www.growyourbusiness.com.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram